IPOH – Kerajaan Negeri Perak menyokong penuh dan komited untuk memainkan peranan aktif bagi menjayakan usaha Tahun Melawat Malaysia 2026.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, kerajaan negeri melalui Tourism Perak akan meneruskan pelbagai inisiatif, program dan pengisian menarik bagi menyokong kempen tersebut.

Katanya, agensi pelancongan negeri itu akan terus bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak termasuk pemain industri serta komuniti setempat bagi memastikan Perak tampil sebagai antara destinasi utama sepanjang kempen itu berlangsung.
“Usaha ini bertujuan untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri Perak, sekali gus memperkukuh pengalaman pelancongan yang ditawarkan kepada semua pengunjung.
“Dengan meneruskan semangat #PromisingPerak, kita komited untuk menjadikan Perak sebagai sebuah negeri yang terus menjanjikan pengalaman terbaik kepada pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Perasmian Hingo Fest 2025 di Persiaran Bandaraya Ipoh, pada Ahad.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Lembaga Pengarah Tourism Perak, Datuk Mohd Kamil Shafie.
Turut hadir sama,Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Halizah Sipun serta Pengurus Besar People of Remarkable Talents (PORT), Nur Hanim Mohamed Khairuddin.

Menurut Sze Yee, beliau yakin dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, Perak akan terus melangkah ke hadapan sebagai destinasi pelancongan yang diyakini dan digemari.
“Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 adalah usaha kerajaan dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, di samping merancakkan pertumbuhan ekonomi negara melalui sektor pelancongan.
“Kempen ini turut memberi penekanan kepada kepelbagaian produk pelancongan, pengalaman unik, warisan budaya serta pembangunan pelancongan yang mampan,” ujarnya.
Mengulas tentang program beliau berkata, Hingo Fest 2025 merupakan program pelancongan terakhir anjuran Tourism Perak bagi menutup tirai tahun ini.


Kata beliau, program yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu itu sarat dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan ‘street soccer’, Kopi Talk Oleh Coffee Society Ipoh, Program Bicara Santai Bersama PU Riz, pameran motosikal dan sebagainya.
Sze Yee berkata, ia turut menampilkan 60 khemah jualan yang merangkumi pelbagai segmen termasuk makanan dan minuman, pencuci mulut, kopi, pakaian, minyak wangi, kraf tangan dan sebagainya.
“Pengunjung turut berpeluang menyaksikan ‘Putera Perennial’, iaitu pameran kompilasi karya seni seperti catan, kolaj dan lukisan.
“Ia dihasilkan pelajar Arts Thoroughbred Studio dari Kolej Tingkatan Enam Seri Putera Ipoh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City, Tanjung Malim serta SMK King Edward, Taiping,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tahun Melawat Malaysia 2026: Perak salur lebih RM18 juta untuk sektor pelancongan


