IPOH – Kempen Tahun Melawat Perak 2024 melabuhkan tirainya dengan kejayaan melepasi sasaran kehadiran pelancong iaitu 8.4 juta pelancong harian direkodkan ke negeri ini, setakat November.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu seramai 627,292 pelancong antarabangsa direkodkan telah melawat ke Negeri Perak dalam tempoh sama.
Katanya, data yang diperoleh daripada Tourism Malaysia itu menunjukkan peningkatan 135 peratus kehadiran pelancong berbanding kempen Tahun Melawat Perak 2017.
Menurut beliau, walaupun Ipoh dan Pulau Pangkor terus menjadi destinasi tumpuan pelancong, Daerah Larut, Matang dan Selama tidak kurang hebat apabila turut merekodkan kejayaan luar biasa dalam sektor pelancongan.
“Daerah ini mencatatkan 1.05 juta pelawat, menjadikannya daerah ketiga tertinggi menerima pelancong di Perak.
“Produk-produk seperti Muzium Telegraf, Antong Coffee dan Trong Leisure Farm menjadi daya tarikan utama serta menyaksikan peningkatan pengunjung sebanyak 30 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Finale Tahun Melawat Perak 2024 dan sambutan tahun baharu 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah, malam tadi.
Antara hadir sama Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Program yang dihadiri lebih 35,000 pengunjung itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, persembahan penyanyi Tomok dan Ramlah Ram, kira detik ambang tahun baharu serta pertunjukan bunga api.
Tambah Saarani, perkembangan berkenaan juga membuktikan sektor pelancongan mampu memberi manfaat kepada kawasan yang terletak di bandar.
Malah kata beliau, pada masa sama ia juga dilihat mampu memberi limpahan ekonomi kepada kawasan luar bandar dan pinggir bandar yang kaya dengan keunikan serta warisan tersendiri.
Dalam pada itu Saarani berkata, sebanyak lebih 110 acara pelancongan telah diadakan di Perak sepanjang tempoh tahun lalu.
“Acara seperti Rainforest Challenge di Lenggong, Rimba Raid di Hulu Perak, Ultra Trail by UTMB di Taiping, dan Kampar River Festival di Gopeng yang menarik peserta dari lebih 60 negara.
“Ia dilihat telah memacu Perak sebagai destinasi ekopelancongan dan sukan lasak bertaraf antarabangsa,” katanya.
Tambah Saarani lagi, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada pembangunan modal insan dalam sektor pelancongan dalam sektor pelancongan.
Jelas beliau, walaupun tirai kempen Tahun Melawat Perak 2024 telah berlabuh, namun usaha mempromosikan Perak akan diteruskan dan dipergiatkan sebagai persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kerajaan negeri memberi perhatian kepada pembangunan modal insan dalam sektor pelancongan.
“Melalui kerjasama dengan institusi TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), pelbagai kursus dan latihan telah dijalankan untuk melahirkan lebih ramai pemandu pelancong, operator bot, serta pengusaha homestay dan resort,” ujar beliau.
Perak meletakkan sasaran kehadiran lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong asing pada sepanjang kempen Tahun Melawat Perak 2024. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kehadiran pelancong antarabangsa lepasi sasaran Tahun Melawat Perak
[…] Tahun Melawat Perak 2024 lepasi sasaran, tarik 8.4 juta pelancong […]