KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dingatkan bahawa jawatan tinggi yang disandang beliau bukan bermakna boleh bertindak tanpa menghiraukan pendapat orang lain.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata demikian selepas Menteri Pengangkutan itu mengeluarkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu ‘level rendah’ dan hanya membazir masa untuk melayan beliau.
Menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Anthony sebagai sombong, Dr. Muhamad Akmal akan terus lantang bersuara berkaitan isu agama, bangsa dan negara.
Dr Muhamad Akmal mengulas tajuk sebuah artikel portal Malaysiakini edisi bahasa Cina yang melaporkan kenyataan Anthony.
“Terjemahannya: ‘Anthony Loke berterus terang, Akmal level rendah, tak perlu bazir masa membalas elak menjejaskan fokus terhadap tugas penting’.
“Iya kamu memang berjawatan tinggi tetapi kamu jangan ingat kamu boleh buat sesuka hati kamu.
“Kami yang dianggap jawatan rendah inilah yang akan terus lantang bersuara mempertahankan agama bangsa dan tanah air ini tidak kira betapa besar jawatan yang kau ada wahai Anthony Loke Siew Fook. Baru ada pangkat, sombong! Kaduk naik junjung!” katanya di Facebook.
Dr. Muhamad Akmal sebelum ini lantang bersuara dalam beberapa isu yang dibangkit pemimpin DAP termasuk Naib Presiden DAP, Teresa Kok.
Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh memfailkan saman fitnah terhadap Dr Muhamad Akmal Saleh di Mahkamah Tinggi pada Oktober lalu.
Teresa selaku plaintif mengemukakan saman itu menerusi Tetuan SN Nair & Partners, berhubung kenyataan Dr. Muhamad Akmal dalam video di aplikasi TikTok, pada 7 September lalu.
Beliau menamakan Dr. Muhamad Akmal selaku defendan tunggal dan menuntut pampasan, ganti rugi am, teruk dan teladan Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka itu.- MalaysiaGazette