IPOH – Seorang lelaki tidak menyangka video isterinya yang membantu mengangkatnya dari kerusi roda untuk naik tempat duduk motosikal selepas mendapatkan rawatan di sebuah hospital dekat sini tular di platform media sosial sejak semalam.
Muhammad Redzuan Adnan, 25, berkata, pada ketika itu dia bersama isterinya, Masita Yusof, 24, dan anak perempuan mereka yang baru berusia tiga tahun ke Hospital Batu Gajah pada petang Selasa lalu selepas dia mengalami sesak nafas.
Menurutnya, motosikal Honda Wave Alfa yang dinaiki mereka sekeluarga adalah satu-satunya kenderaan yang ada dan digunakan untuk menjalani kehidupan harian.
“Pada hari itu, saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan penyakit asma sebab saya semput (sesak nafas) dan lelaki di tepi kerusi roda itu adalah ayah saya, dia juga mengalami masalah kesihatan yang sama, jadi kami pergi sekali.
“Lampu motosikal pula tidak berfungsi dan saya terpaksa menggunakan lampu suluh kerana kami sekeluarga pulang pada waktu malam.
“Sebenarnya saya, tidak tahu mengenai video tersebut sehinggalah rakan yang tinggal di kawasan taman perumahan ini memberi pautan Facebook dan tidak sangka video itu viral (tular) serta mendapat perhatian masyarakat.
“Selepas video itu viral, baru orang tahu keadaan saya yang sebenar dan ada juga yang datang menghulurkan bantuan hari ini,“ katanya ketika ditemui dirumahnya di Taman Mesra Raia, Kampung Kepayang, Simpang Pulai, di sini pada Khamis.
Redzuan yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) turut menceritakan bahawa dia memang menghadapi masalah kesihatan sejak kecil.
Dia yang pernah terkena jangkitan kuman dalam paru-paru pada 2019 telah menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) selama lima bulan sebelum dipindahkan ke wad biasa dan selama empat bulan di sebuah hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
Katanya, dia juga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan (ventilator) sebelum pulih sepenuhnya dan kembali bekerja seperti biasa.
“Saya memang OKU sejak kecil dan ada sakit saraf. Selepas bekerja selama tiga tahun saya disahkan menghidap penyakit asma. Pada masa itu, saya mengalami kesukaran untuk bernafas dan berjalan kerana otot saraf semakin lemah.
“Sejak dari itu, pergerakan saya amat terbatas dan memerlukan bantuan isteri serta rakan-rakan sekerja untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain,” ujarnya yang kini tinggal di rumah bantuan Baitulmal Perak.
Dalam pada itu, Muhammad Redzuan yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat pengangkutan berkata, dengan gaji sedia ada dia sekeluarga hanya cukup-cukup makan namun ahli keluarganya tetap membantu jika keadaan memerlukan.
Sementara itu, pemilik akaun TikTok faizaljoe0 atau Faizal Hanifah Mazlam, 34, ketika ditemui berkata, dia melihat pasangan terbabit di parkir hospital berkenaan sewaktu membawa isterinya yang kurang sihat untuk mendapatkan rawatan di situ.
“Malam itu saya pergi hospital bawa isteri sakit tengok ada orang berkerusi roda pergi ke motosikal macam nak naik motosikal.
“Saya pergi bertanya kepada mereka macam mana naik motosikal dan mereka beritahu yang mereka datang dari Simpang Pulai ke hospital yang menunggang motosikal pula adalah suami yang berkerusi roda.
“Sebenarnya saya agak terkejut macam mana boleh bawa motosikal sebab tidak sihat, jadi kami tawarkan mereka sekeluarga untuk menaiki kereta dan hantar ke rumah tetapi mereka menolak dengan baik serta memaklumkan itu adalah perkara biasa,” jelasnya.
Katanya, dia tidak sempat mengambil maklumat mengenai keluarga tersebut jadi dia merakam video dan memuat naik di platform TikTok.
“Pada masa itu, saya pun nak cepat kerana isteri dalam hospital, jadi saya pun rakam dan letak dalam TikTok. InsyaALLAH ada orang baik hari nak bantu.
“Saya letak dalam TikTok sebab nak dapatkan alamat mereka dan ada kawan-kawan niat nak bantu. Alhamdulillah dapat juga kami ke rumah mereka,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: