Tanah Melayu dirampas, kuasa terhakis kerana salah pemimpin sendiri – Anwar

MELAKA – Kehilangan tanah milik orang Melayu tidak harus dijadikan alasan untuk menyemai kebencian antara kaum kerana ia berpunca daripada kelemahan sebahagian pemimpin itu sendiri yang gagal menjaga amanah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau kesal dengan kecenderungan segelintir pihak untuk menuding jari kepada kaum lain dengan mendakwa hak Melayu terhakis.

“Dalam agama ini tak latih kita benci orang. Melayu yang miskin, tanah Melayu yang dirampas, kuasa Melayu yang terhakis. Peluang-peluang diambil (kerana) itu banyak salah pemimpin Melayu sendiri.

“Cari pemimpin Melayu yang amanah, yang kuat kerja. Cari pemimpin Cina yang bersih, kuat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Acara Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri Melaka, Lorong Pandan di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, kerajaan Madani tidak akan membiarkan isu kaum dijadikan modal politik murahan kerana apa yang lebih penting ialah perpaduan serta kestabilan negara.

Perdana Menteri secara berseloroh turut menyindir fahaman mereka yang sering mengaitkan pelbagai masalah dengan parti tertentu seperti DAP.

“Ekonomi rosak, (salah) DAP. Kemalangan motor pun DAP. Terlambat datang program, DAP. Itu semua alasan. Dalam agama pun tak disuruh kita benci orang,” katanya.

Menurut Anwar, politik kebencian hanya akan menghancurkan negara dan memberi kesan buruk kepada ekonomi serta kestabilan sosial.

Tegasnya, hanya dengan semangat kebersamaan dan perpaduan, Malaysia mampu mengekalkan kestabilan politik serta melonjakkan pembangunan ekonomi di peringkat serantau dan global.

“Apa guna bergaduh? Negara mana yang aman kalau rakyatnya bergaduh sesama sendiri? Kalau berlaku pergaduhan kaum, ekonominya hancur.

“Yang gaduh ini, orang bawah, rusuhan-rusuhan yang berlaku di Bangladesh, di Nepal orang bawah orang atas ini selamat semua. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI