KUALA KANGSAR – Beregu badminton campuran negara dan bekas ratu tenpin boling kebangsaan merupakan antara penerima pingat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-69, pada Sabtu.
Sultan Nazrin berkenan menyampaikan pingat kepada atlet badminton kelahiran Ipoh, Chen Tang Jie, 27, dan Toh Ee Wei 25 yang berasal dari Melaka serta bekas atlet boling, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, 34.
Mereka merupakan antara 205 penerima anugerah dalam Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda di Istana Iskandariah di sini, pada Sabtu.

Pasangan beregu badminton sensasi negara yang berjaya mencipta sejarah selepas menjuarai Kejohanan Badminton Dunia di Paris Ogos lalu itu merupakan antara 57 orang penerima bagi Pingat Pekerti Terpilih (PPT).
Sementara bekas bintang boling negara kelahiran Ipoh, Syaidatul Afifah pula antara 39 individu yang menerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) daripada Sultan Nazrin.
Pada istiadat sama, Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 26 penerima termasuk kepada secara anumerta kepada mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin.
Baginda berkenan menyampaikan anugerah tersebut kepada balu Allahyarham, Rozlita Abdullah.
Turut menerima PMP antaranya, Timbalan Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak Kampus Seri Iskandar, Prof Madya Dr Mohd Azian Zaidi; Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Mohd Ghazali A Manap; Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita Negeri Perak, Jamilah Zakaria serta ADUN Behrang, Salina Samsudin.

Terdahulu Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan pingat Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) kepada 13 orang penerima; Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) (14); Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (46) serta Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) (lapan).
Turut berangkat ke majlis istiadat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah; dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Hadir sama, Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid.
Pada 9 November lalu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Darjah Kebesaran Negeri Perak kepada 30 penerima dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sebagai pendahulu penerima. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Keputeraan Sultan Perak: KSN dahului senarai penerima darjah kebesaran, pingat negeri


