IPOH – Kerajaan Perak berharap usaha menarik pelabur asing ke negeri ini tidak terjejas susulan pengumuman Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan kadar tarif import sebanyak 25 peratus terhadap Malaysia, baru-baru ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini kerajaan negeri sedang giat membawa masuk pelabur luar sebagai usaha merancakkan sektor ekonomi negeri.
Katanya, walaupun isu tarif itu berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), namun kerajaan negeri tetap memantau perkembangan itu susulan ia memberi kesan langsung terhadap pelaburan serta produktiviti negeri.
“Tetapi kita tidak ada pilihan kerana kita mesti terus membawa masuk seramai mungkin pelabur ke negeri ini.
“Jadi kita berharap pelabur-pelabur tidak akan rasa terencat dengan pengumuman tarif ini kerana ia diumumkan AS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman.
Mengulas lanjut Saarani memberitahu, dasar perdagangan luar seperti tarif bukan hanya menjejaskan Malaysia semata-mata, bahkan turut memberi kesan kepada negara-negara lain yang mengeksport ke pasaran ke Negara ‘Uncle Sam’ itu.
“Ini adalah tarif yang ditetapkan AS. Jadi pelabur di mana-mana negara termasuk Kemboja sekalipun akan hadapi perkara sama jika sasaran eksport mereka ialah AS,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif import sebanyak 25 peratus akan dikenakan terhadap Malaysia bermula 1 Ogos ini.
Antara negara yang akan menghadapi tarif 25 peratus ialah Jepun, Korea Selatan, Tunisia, Kazakhstan.
Pada Selasa, Pulau Pinang dilaporkan menzahirkan kebimbangan susulan perkembangan itu memandangkan negeri berkenaan antara penyumbang utama kepada eksport negara ke AS.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow turut dilaporkan berkata, MITI perlu perlu meneliti semula strategi rundingan dengan negara tersebut bagi memastikan kepentingan Malaysia serta industri berkaitan dilindungi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kedudukan ekonomi negara kukuh hadapi impak tarif import AS – PM Anwar