IPOH – Kes anggota tentera yang mendakwa dipukul penyelianya di Kem Rasah, Seremban dianggap selesai selepas kedua-dua pihak bersepakat menarik semula laporan polis yang dibuat dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu.
Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, perkara itu telah diselesaikan di peringkat pasukan.
Menurutnya, sebelum ini, terdapat perselisihan faham berhubung perkara yang dinyatakan di dalam laporan polis yang tidak tepat namun perkara tersebut sudah diselesaikan secara baik bukan sahaja di pihak mangsa malah melibatkan anggota keluarga.
“Saya rasa benda ini pun sudah tertular di dalam media sosial di mana mereka sama-sama telah pergi ke Balai Polis Seremban untuk menarik balik laporan polis tersebut.
“Bagaimanapun, apa yang ingin ditegaskan di sini adalah kita memang memandang serius sebarang salah laku yang melibatkan kes penderaan.
“Sekiranya berlaku sebarang kes yang berkaitan, kita akan semak, buat siasatan dan mengambil tindakan yang sekeras-kerasnya sekiranya disahkan benar-benar berlaku,” katanya pada sidang media, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, tular salinan laporan polis yang dibuat keluarga mangsa mengenai dakwaan anggota tentera itu dipukul penyelianya ketika berada di kem terbabit.
Kejadian berlaku pada Jumaat lalu, apabila mangsa menghubungi abangnya memaklumkan dia mengalami kecederaan selepas dipukul penyelianya.
Abangnya yang berada di Sungai Petani, Kedah kemudiannya tampil membuat laporan polis pada hari yang sama di Balai Polis Tikam Batu.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Masjid Baharu 2 Briged yang bernilai RM5.5 juta di Kem Syed Putra, di sini, pada Rabu.
Masjid yang terletak di atas tanah berkeluasan 0.80 hektar itu mampu memuatkan 1,000 jemaah pada satu-satu masa serta dilengkapi ruang solat utama, ruang limpah terbuka, tempat memandikan jenazah, bilik imam, bilik mesyuarat, bilik stor, 100 parkir termasuk parker orang kurang Upaya (OKU). – MG Perak
Artikel Berkaitan: