IPOH – Sebuah tasik dikelilingi bukit batu kapur didakwa sebagai Tasik Cermin yang terjejas akibat aktiviti kuari sebenarnya bukan kawasan tumpuan pelancongan itu.
Sebaliknya hantaran yang tular di laman sosial Facebook itu terletak dalam sebuah kawasan kuari berkeluasan kira-kira 1.8 hektar milik sebuah syarikat swasta dan tidak melibatkan tanah kerajaan.
Bercakap kepada MG Perak, Pegawai Daerah Kampar, Nazrul Fazami Mohamad berkata, berdasarkan semakan, lokasi terbabit telah diwartakan sebagai kawasan persendirian untuk perindustrian perlombongan mineral bagi tempoh 30 tahun sejak Disember 1995.
“Bagi kawasan tasik yang dimaksudkan, tiada rekod atau kelulusan bagi apa-apa aktiviti yang melibatkan Majlis Daerah Kampar.
“Bagaimanapun, aktiviti mineral yang berjalan di kawasan tersebut berada di bawah tindakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kampar.
“Pihak-pihak berkenaan akan mengambil tindakan sekiranya syarikat kuari terbabit dikesan melakukan pelanggaran syarat dan tatakelola yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu kata beliau, berdasarkan semakan pada lesen melombong, kawasan kuari persendirian terbabit beroperasi di alamat Jalan Gopeng-Kampar, di Gunung Panjang, Gopeng.
Terdahulu laman sosial Pemerhati Lembah Kinta memuat naik hantaran bersama gambar dengan mendakwa sebuah tasik dikenali sebagai Tasik Cermin di Gopeng terjejas akibat aktiviti kuari.
Di samping itu, ada juga yang mendakwa kawasan yang terjejas itu merupakan lokasi sama kawasan tumpuan pelancongan Tasik Cermin yang terletak di Bandar Raya Ipoh.
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam satu kenyataan ringkas menafikan dakwaan itu dengan menjelaskan tiada aktiviti kuari dikesan beroperasi di sekitar Tasik Cermin Ipoh. -MG Perak