IPOH – Kerajaan Negeri Perak tidak pernah menyekat penyebaran Islam di negeri ini melalui penetapan memohon Tauliah Mengajar Agama Islam bagi tujuan mengajar di masjid dan surau.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebaliknya ia bertujuan mengelak masjid dan surau disalah guna bagi tujuan menyebarkan fahaman politik.
“Sebab itu kita tidak benarkan mana-mana individu yang ada jawatan dalam politik diberi tauliah supaya tidak dicampur aduk dengan kepentingan politik semasa mengajar dalam masjid.
“Ia juga bertujuan mengharmoni dan memastikan supaya masjid benar-benar dapat berfungsi dengan sepatutnya iaitu dijadikan sebagai tempat orang Islam berkumpul menyatukan hati masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika menjawab soalan tambahan Husairi Ariffin (PN-Kenering) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.
Menurut Saarani (BN-Kota Tampan), tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya terdapat mana-mana individu yang mengajar di masjid atau surau tanpa tauliah.
“Selain itu, jika ada individu yang tiada jawatan dalam politik tetapi memperoleh tauliah dan ketika mengajar menyampaikan fahaman politik itu pun kita akan amvil Tindakan.
“Kita yakin bahawa peraturan ini benar-benar dapat berfungsi dengan baik jika semua mematuhinya di mana ia merupakan titah Baginda Sultan Perak selaku ketua agama di negeri ini,” katanya.
Menjawab pertanyaan lisan Husairi berkaitan proses permohonan untuk mendapatkan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perak, Saarani berkata, pemohon perlu mengisi borang permohonan dengan lengkap dan disokong oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah.
Beliau berkata, calon perlu menduduki ujian bertulis bagi Peperiksaan Tauliah Mengajar Negeri Perak melibatkan 7 subjek (Tauhid, Fekah, Sirah, Hadis, Tafsir, Aliran pemikiran dan Tasawuf) yang hanya diadakan satu kali setahun.
“Proses semakan kertas jawapan bagi ujian bertulis mengambil masa sekitar tiga hingga empat bulan untuk penelitian demi menjaga kualiti pemegang tauliah.
“Berdasarkan peraturan, senarai calon yang lulus ujian bertulis perlu dibentang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam yang bersidang tiga kali setahun untuk diperaku dan selepas tu calon-calon tersebut akan dipanggil untuk ujian lisan (temuduga),” katanya.
Mengulas lanjut Saarani berkata, senarai calon yang berjaya dalam ujian lisan (temuduga) perlu dibentang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam yang dipengerusikan oleh Mufti Perak untuk diperaku.
Katanya lagi, setelah mendapat perakuan, calon-calon akan dipanggil mengikuti Kursus Induksi dan Majlis Penyampaian Anugerah Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perak.
“Kesimpulannya, proses-proses bagi mendapatkan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perak perlu mengambil masa yang mencukupi dan tempoh kira-kira satu tahun adalah sangat munasabah.
“Pengajaran agama merupakan tugas yang sangat penting dan berat, kerana melibatkan persoalan akidah dan hukum fikah,” katanya.
Saarani berkata, Jabatan Mufti Negeri Perak perlu berhati-hati dalam menilai calon-calon pemegang tauliah yang benar-benar berkelayakan untuk diberi tauliah mengajar. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak masih tangguh kebenaran penceramah luar, walau baru terima tauliah