Telur gred khas diperkenalkan dengan harga lebih berpatutan

KUALA LUMPUR – Telur gred khas akan diperkenalkan oleh pihak industri dengan tawaran harga yang lebih berpatutan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, pengenalan ini merupakan inisiatif segera untuk memastikan keterjaminan bekalan dan kestabilan harga telur ayam susulan langkah penstrukturan semula subsidi telur ayam berkuatkuasa 1 Ogos 2025.

Menurutnya, rakyat juga boleh mendapatkan telur ayam dengan harga kompetitif melalui program Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah yang dilaksanakan secara meluas di seluruh negara, termasuk di premis jualan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

KPKM menerusi kenyataan berkata, langkah penstrukturan semula ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengoptimumkan perbelanjaan subsidi, yang mana penjimatan yang dijana akan disalurkan semula kepada program-program kesejahteraan rakyat yang selari dengan nilai-nilai teras Malaysia Madani.

“Keputusan ini juga dibuat setelah mengambil kira keyakinan terhadap keupayaan pihak industri dalam memastikan pengeluaran telur ayam yang stabil dan mencukupi,” katanya.

Kementerian itu menambah, antara Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion bagi menampung subsidi telur ayam.

Jelasnya, ia adalah satu jumlah yang besar dan bersifat sementara bagi membantu rakyat serta industri semasa krisis pandemik dan gangguan rantaian bekalan global.

Lantaran itu, kerajaan memutuskan untuk menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi bagi telur ayam bermula 1 Ogos ini selepas keadaan pasaran semakin stabil.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga akan terus memperkukuh penguatkuasaan melalui pemantauan rapi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang bentuk pencatutan atau manipulasi harga oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Langkah ini penting bagi memastikan harga yang dikenakan kepada pengguna kekal berpatutan dan adil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI