Tembak polis, mayat dalam kereta: Sembilan individu dibebaskan dengan jaminan polis

IPOH: Sembilan individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita dalam kenderaan suspek yang menikam dan menembak anggota polis di Simpang Pulai, dekat sini, Ahad lalu, dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua suspek termasuk seorang wanita itu dibebaskan sementara menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwaan.

“Kesemua suspek direman sejak Isnin lalu dan pihak polis mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk membebaskan mereka pagi tadi.

“Siasatan kes ini masih dijalankan dan polis perlu mengambil beberapa tindakan untuk melengkapkan siasatan sebelum menyerahkan semula kertas siasatan kepada pihak pendakwaan,” katanya di sini, pada Sabtu.

Pada Isnin lalu, Mahkamah Majistret Ipoh membenarkan permohonan polis untuk menahan reman kesemua suspek berusia antara 30 hingga 70 tahun itu selama tujuh hari.

Difahamkan, siasatan ke atas seorang suspek wanita dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala lapan suspek lelaki pula akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, enam termasuk seorang wanita yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat dalam kenderaan lelaki yang menikam dan menembak seorang anggota polis.

Dalam kejadian pada pukul 1.15 pagi itu, seorang anggota polis cedera selepas ditikam dan ditembak seorang lelaki ketika menjalankan tugasan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan Simpang Pulai.

Pemeriksaan pada kenderaan dipandu suspek menemukan mayat seorang wanita di bahagian tempat duduk belakang kenderaan manakala suspek melarikan diri bersama pistol milik pasukan.

Proses bedah siasat ke atas mayat wanita berusia 62 tahun itu mendapati punca kematian mangsa akibat kelemasan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sembilan Individu Direman Kes Penemuan Mayat Dalam Kereta, Tembak Polis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI