Tembok Pusat Koreksional Batu Gajah dihiasi mural 80 meter

BATU GAJAH – Tembok di Pusat Koreksional Batu Gajah kini berwajah baharu apabila dihiasi dengan mural sepanjang 80 meter dan tinggi tiga meter yang mempamerkan pelbagai corak dan lukisan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah, Mohamad Razif Ramli berkata, mural berkenaan dihasilkan melalui kerjasama antara pihaknya dengan Pusat Koreksional Batu Gajah serta Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak, Kampus Seri Iskandar.

“Kolaborasi ini telah bermula pada penghujung tahun lalu dan pelbagai siri perbincangan telah diadakan.

“Hasilnya, lukisan mural di tembok pusat koreksional ini berjaya disiapkan pada Februari lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Lukisan Mural di hadapan Pusat Koreksional Batu Gajah, pada Khamis.

Majlis dirasmikan Pegawai Daerah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Halizah Sipun.

Hadir sama, Pengarah Penjara Negeri Perak, Charin Promwichit Chem; Pengarah Pusat Koreksional Batu Gajah, SS Tanabal serta pengarah projek yang juga pensyarah kanan di Jabatan Seni Halus, Fakulti Seni Lukis Seni Reka (FSSR) UiTM Perak Kampus Seri Iskandar, Prof Madya Dr Azian Tahir.

Menurut Mohamad Razif, pemilihan lokasi mural dibuat kerana Pusat Koreksional Batu Gajah merupakan bangunan bersejarah yang berusia lebih 100 tahun.

“Ini merupakan kolaborasi ketiga antara Majlis Daerah Batu Gajah dan UiTM, selepas projek mural di Laman Komuniti Pekan Batu Gajah serta pekan Pusing.

“Namun, yang istimewanya kali ini ialah ia merupakan kali pertama kami bekerjasama dengan Jabatan Penjara Negeri Perak,” ujarnya.

Sementara itu, timbalan ketua projek Dr Syed Alwi Syed Abu Bakar berkata, kerja-kerja penghasilan lukisan mural di tapak mengambil masa tujuh hari bermula 15 Februari.

Beliau yang juga pensyarah kanan Jabatan Seni Halus FSSR UiTM Cawangan Perak memberitahu, penghasilannya melibatkan 25 panel yang terdiri daripada sembilan pensyarah, empat alumni dan 12 pelajar.

“Mural bertemakan ‘Membentuk Insan Produktif Melalui Pendidikan Pencegahan’ ini dihasilkan melalui geran nasional daripada Majlis Daerah Batu Gajah.

“Konsep rekaan mural ini berasaskan kepada ‘strip film’ atau jalur filem klasik, di mana setiap ‘frame’ (petak filem) menggambarkan aktiviti yang berbeza,” katanya.

Jelas Syed Alwi, antara yang dipamerkan pada lukisan mural termasuk sejarah perkembangan penjara di Malaysia, pemulihan akhlak terhadap prospek, sumbangan tenaga kerja serta visual bunga yang memberikan gambaran perubahan kepada setiap prospek.

“Kami sangat mengharapkan agar mural yang dihasilkan ini dapat menyedarkan masyarakat tentang pentingnya peranan mereka dalam memahami peranan penjara tanpa meletakkan unsur-unsur negatif,” tambah beliau. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Mural sejarah, budaya, tokoh terkenal Ipoh bakal dihasilkan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI