Tembus pasaran antarabangsa, 120 usahawan Perak catat jualan RM2 juta

IPOH –  120 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) negeri ini, terlibat dengan lapan program Perluasan Pasaran Produk dan Perkhidmatan Usahawan Perak ke Luar Negara setakat November 2024.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, daripada program yang disertai, mereka berjaya mencatatkan hasil jualan tunai RM2 juta.

Katanya, selain itu turut berjaya dicatatkan jualan potensi sejumlah RM19.7 juta melalui kontrak dan perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai antara usahawan negeri dengan bakal pengimport dari seluruh dunia melalui program yang disertai.

“Antara program yang telah disertai adalah seperti Malaysia Fest Singapura 2024, Fine Food Expo Australia, Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2024, China-Asean Expo Naning China, dan sebagainya.

“Pemilihan negara dan lokasi pasaran eksport telah dibuat dengan penuh teliti hasil kajian dan perbincangan strategik antara Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Ini penting agar produk dan perkhidmatan yang dibawa benar-benar mampu menembusi pasaran di negara dan wilayah serta menepati kehendak pengguna di negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Azizi Mohamed Ridzuan (PN-Lubuk Merbau) pada pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.

Dalam pada itu Salbiah (BN-Temengor) turut berkongsi kejayaan perusahaan Perak yang berjaya dibimbing pelbagai agensi kerajaan sehingga menembusi pasaran di peringkat antarabangsa, iaitu Syarikat Syilis Food Manufacturing Sdn. Bhd.

Kata beliau, syarikat milik usahawan negeri itu menjual pelbagai jenis sambal semasa Pandemik COVID-19 pada tahun 2020.

“Mereka hanya memulakan perniagaan menjual sambal dari bangsal kuda dengan hanya bermodalkan beberapa ratus ringgit sahaja dan tanpa ada mempunyai premis yang sesuai.

“Hasil bantuan bersepadu yang dilaksanakan oleh STeP dengan kerjasama pelbagai agensi dalam tempoh tiga tahun sahaja, mereka kini telah berjaya menjadi pengeksport produk sambal ke Singapura, Turkiye dan Australia.

“Malah produk mereka kini sedang terbang tinggi di ruang udara antarabangsa apabila baru-baru ini mereka mendapat kontrak pembekalan sambal bersama syarikat Saudi Airlines,” ujarnya.

Pada masa sama beliau turut menyaran agar semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membantu mengetengahkan usahawan yang berpotensi di kawasan masing-masing.

Jelas Salbiah, agensi kerajaan bersedia untuk membantu dan membimbing mereka memperkembangkan perusahaan masing-masing sehingga mampu menjadi pengeksport. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Dulu pengurus produksi, kini bergelar tauke sambal Syilis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI