Tempoh pengurangan fi LKM di Cameron Highlands dilanjutkan

CAMERON HIGHLANDS – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melanjutkan tempoh pengurangan kadar bayaran fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) kepada kenderaan ‘de-controlled’ di tanah tinggi di sini, sehingga 2027.

Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, pengurangan sebanyak 90 peratus itu diberi lanjutan bermula 28 Oktober 2024 sehingga 27 Oktober 2027.

Menurut beliau, pengurangan kadar berkenaan telah diberikan kerajaan melalui JPJ sejak 1987 bagi memastikan kelangsungan ekonomi perusahaan agrotani komersial di Cameron Highlands.

Ujar Aedy Fadly ia juga bertujuan memastikan ekosistem pengangkutan hasil-hasil agrotani dan barang pertanian berjalan lancar.

“Inisiatif ini sebagai langkah proaktif Kerajaan MADANI untuk memanfaatkan 1,058 kenderaan decontrolled Cameron Highlands (sehingga 15 Ogos 2024) yang mengangkut hasil agrotani dan barang-barang pertanian dalam Kawasan ini.

“Ia sangat bertepatan membantu para petani dan pengusaha agrotani dalam menguruskan pengangkutan dan pengedaran hasil-hasil agrotani mereka dari kawasan kebun ke pusat-pusat pengumpulan sayuran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) dan Pelanjutan Pengurangan LKM Kepada Pemilik Kenderaan Industri Pertanian Di Cameron Highlands di JPJ Cawangan Cameron Highlands, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, usaha berterusan kerajaan juga adalah untuk memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha lori sayur di kawasan Cameron Highlands menggantikan kenderaan pacuan empat roda milik mereka.

Katanya, ini kerana kebanyakkan kenderaan tersebut tidak dapat lagi digunakan ekoran telah berusia, uzur dan using.

“Usaha ini secara langsungnya membantu mengurangkan bebanan kos dipihak ahli-ahli persatuan.

“Jabatan ini sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara seterusnya berada pada tahap yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Tuan Empunya Kenderaan Sayur-Sayuran Cameron Highlands, Lau Sai Hoong menyuarakan penghargaan terhadap kerajaan melalui JPJ yang memberi tempoh lanjutan berkenaan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak JPJ kerana dalam masa yang singkat dapat memproses dan meluluskan pelanjutan pengurangan LKM sebanyak 90 peratus.

“Kami juga tidak akan lupakan jasa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Chi Yang yang membantu persatuan,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Wanita tiada lesen beri alasan terlepas simpang jalan ketika ditahan JPJ

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI