KUALA LUMPUR – Jaguh pecut negara layak ke final 100 meter (m) Terbuka India iaitu kejohanan bertaraf Gangsa Siri Jelajah Benua Olahraga Dunia di Stadiu Kalinga, Bhubaneswar hari ini.
Pelari sensasi, Muhammad Azeem Fahmi, 21, menamatkan saringan kedua di tempat pertama dengan catatan 10.48 saat (s) manakala rakan sepasukan, Danish Iftikhar Muhammad Roslee meraih tempat ketiga dalam saringan sama.
Dia mencatatkan masa 10.64s sekali gus menempatkan diri dalam kelompok lapan pelari terbaik.
Dalam kategori wanita 100m, Zaidatul Husniah Zulkifli turut mara ke final selepas mencatat 11.97s dalam saringan kedua, sementara Nor Aisyah Rofina Aling gagal ke perlumbaan akhir apabila sekadar mencatat 12.14s.
Malang bagi acara 200m lelaki apabila Pengiran Aidil Auf Hajam menamatkan larian di tempat keenam dalam saringan kedua dengan masa 21.95s, sekali gus gagal mara ke final.
Final acara 100m dijadualkan berlangsung malam ini dengan Azeem dan Danish dijangka berdepan cabaran sengit daripada pelari tuan rumah serta beberapa wakil Asia Tenggara lain yang memburu gelaran juara. – MalaysiaGazette