BAGAN DATUK – Seorang nelayan ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot ke dalam Sungai Bernam berhampiran pelantar ikan Hutan Melintang, dekat sini, pada Selasa.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bagan Datuk, Kapten (PA) Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata, sekitar jam 4.30 petang, mayat lelaki itu ditemukan pada permukaan air pada jarak 6 kilometer (km) dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
“Ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan, pasukan Polis Marin menemukan satu mayat yang terapung. Mayat itu kemudian dibawa untuk pengesahan daripada waris mangsa.
“Mayat berkenaan kemudian disahkan adalah mangsa yang dilaporkan hilang sebelum ini. Justeru operasi pencarian mangsa ditamatkan pada jam 5.40 petang oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Menurut beliau, terdahulu operasi yang memasuki hari kedua itu turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Teluk Intan bersama unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).
Kata beliau, keseluruhan operasi pada Selasa melibatkan kekuatan tujuh anggota APM, bomba (lapan) serta polis (lima).
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa pada hari kedua melibatkan kaedah pencarian pada permukaan air oleh pasukan bomba,” jelasnya.
Pada Isnin, seorang nelayan lelaki dilaporkan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Bernam berhampiran pelantar ikan Hutan Melintang.
Ketika kejadian, mangsa dikenali sebagai Ng Kawai, 30, dikatakan terjatuh ketika cuba menyeberangi dari sebuah bot ke bot yang lain.
Mohd Fazly berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk pada jam 5.06 petang sebelum bergegas ke lokasi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: