Terlibat dengan dadah kes tertinggi kegiatan jenayah kanak-kanak

IPOH – Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, mendedahkan seramai 343 kanak-kanak dilaporkan terlibat dalam kegiatan jenayah di Perak bagi tempoh 2022 sehingga 19 Jun 2024.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kes melibatkan dadah dalam kalangan kanak-kanak merupakan kesalahan tertinggi yang direkodkan di negeri ini.

Menurut beliau, sebanyak 85 kes direkodkan sepanjang tempoh berkenaan diikuti, jenayah berkaitan manusia (84), jenayah dengan harta benda (76), lalu lintas (56), lain-lain kes (29) dan judi (8), Akta Kesalahan Kecil (3), senjata atau bahan api (1) dan kesalahan mengikut Akta Kanak-Kanak (1).

“Laporan yang dikeluarkan oleh JKM Negeri Perak berkenaan statistik kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah, mencatatkan sebanyak 343 kes pada tahun 2022 sehingga 19 Jun 2024.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 158 kes direkodkan pada tahun 2022, 134 kes bagi tahun 2023 dan 51 kes sehingga 19 Jun tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Chaw Kam Foon (PH-Mengelembu) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Salbiah (BN-Temengor) berkata, sebanyak 1,189 kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan direkodkan bagi tempoh 2022 hingga Jun 2024.

Ujar beliau, sebanyak 473 kes diterima JKM Perak pada 2022 diikuti 473 pada 2023 dan 243 kes bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

“Kes pengabaian kanak-kanak merekodkan kes tertinggi sebanyak 449 kes, diikuti seksual (303), fizikal (192), lain-lain (188), buang (26) dan emosi (31),” katanya.

Menyentuh soal dasar Kerajaan Negeri Perak terhadap perlindungan dan keselamatan kanak-kanak Salbiah berkata, ia merujuk kepada dasar yang diimplementasi oleh Kerajaan Persekutuan.

Jelas beliau ia termasuklah Dasar Kanak- Kanak Negara (DKKN) dan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara (DPKKN) yang telah dihasilkan pada tahun 2009 yang memberi tumpuan kepada hak, perlindungan dan keselamatan kanak-kanak.

Bagi tahun 2024, sebanyak 300 siri Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak telah dirancang di seluruh negara
termasuk Perak, dengan pelaksanaan 30 siri.

“Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak, ibu bapa, keluarga dan komuniti setempat tentang tindakan yang perlu mereka lakukan sekiranya berhadapan dengan masalah penderaan dan pengabaian kanak-kanak,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Kesihatan mental kanak-kanak meningkat dua kali ganda

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI