Terus berdoa untuk Palestin sempena peristiwa Israk dan Mikraj – PM

KUALA LUMPUR – Doa kepada nasib rakyat Palestin yang tertindas dan terus mengalami penjajahan harus diteruskan dalam mengingati peristiwa perjalanan Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peristiwa besar perjalanan Israk dan Mikraj adalah penting dalam konteks sejarah umat Islam khususnya peranan dua kota suci Mekah dan Baitul Maqdis.

“Sehubungan itu, ingatan dan doa kepada nasib rakyat Palestin yang tertindas dan terus mengalami penjajahan harus menjadi sebahagian sikap konsisten kita dalam memperjuangkan maruah dan keadilan untuk rakyat Palestin.

“Firman Allah: ‎سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

“Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah Al-Isra’ : 1),” kata Anwar.

Anwar berkata, keistimewaan yang dianugerahkan kepada Rasulullah SAW melalui perjalanan Israk dan Mikraj merupakan satu perjalanan spiritual yang hadir bersama amanah untuk mengerjakan solat dan memberi kesan yang besar kepada roh dan kekuatan dalaman umat.

Menurut Perdana Menteri, umat Islam harus mencontohi sikap Rasullulah SAW yang kuat bekerja dan berdisiplin.

“Simbol kepimpinan Baginda Rasulullah SAW mengetuai solat dalam kalangan para Rasul yang lain jua mengambarkan kepentingan umat Islam yang dipayungi oleh Rasulullah SAW.

“Pengalaman unik yang dialami oleh baginda harus dibugar bagi memupuk semangat berkerja lebih kuat dan berdisplin mencapai itqan fil amal serta teguh kepada pengabdian penuh kepada Allah SWT,” kata Anwar.

Umat Islam menyambut Israk dan Mikraj hari ini mengingati perjalanan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW dalam satu malam.

Ia melibatkan dua peristiwa besar iaitu Israk melibatkan perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, dan Mikraj iaitu perjalanan dari bumi ke langit ketujuh hingga Sidratul Muntaha.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI