Thaipusam: Polis tahan dua lelaki, bawa pisau, terbangkan dron

IPOH – Polis menahan dua lelaki tempatan selepas disyaki membawa senjata tajam iaitu pisau pemotong sayur dan menerbangkan dron tanpa kebenaran semasa sambutan perayaan Thaipusam, di sini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, kedua-dua mereka ditahan dalam insiden berasingan dengan suspek pertama yang berusia 31 tahun ditahan pada sekitar jam 11.30 pagi Jumaat.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan gagal memberikan alasan munasabah berkenaan tujuan memiliki senjata tajam itu dan hanya mendakwa ia dibawa bagi tujuan melindungi diri.

polis tahan individu bawa pisau dan dron thaipusam perak keselamatan sambutan thaipusam perak dron tanpa kebenaran thaipusam polis perak kawal keselamatan thaipusam tahanan bawa senjata tajam di tempat awam
Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohammad Azlin Sadari menyantuni kanak-kanak pada Program High Profile Policing Tahunan PDRM Perak Bersama Masyarakat sempena sambutan Thaipusam di Kuil Kallumalai Arulmigu Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, Ipoh hari ini. Foto ABDULLAH YUSOF 01 FEBRUARI 2026.

“Suspek tidak dapat menjelaskan secara rasional tujuan dia membawa pisau pemotong sayur di kawasan sambutan yang melibatkan lokasi tumpuan awam.

“Malah semakan rekod juga mendapati individu terbabit mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau melibatkan kes kekerasan serta penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program High Profile Policing Polis Perak sempena sambutan Thaipusam di Perkarangan Kuil Kallumalai Arulmigu Sri Subramaniar, Gunung Cheroh di sini, pada Ahad.

Jelas beliau, lelaki berkenaan ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, dan suspek kini sedang dalam proses permohonan reman.

Mengulas lanjut tentang insiden kedua, Mohammad Azlin memaklumkan, pihaknya berjaya mengesan sebuah dron yang diterbangkan tanpa kebenaran di kawasan sambutan perayaan sekitar jam 9 pagi Ahad.

“Dengan bantuan Unit Dron Bukit Aman, kita berjaya menjatuhkan dron tersebut dan seterusnya mengesan serta menahan seorang lelaki tempatan berusia sekitar 80-an yang dipercayai mengendalikan peralatan berkenaan,” katanya.

Ujar beliau, lelaki warga emas itu tidak ditahan reman, sebaliknya dibebaskan dengan jaminan polis selepas proses dokumentasi selesai.

polis tahan individu bawa pisau dan dron thaipusam perak keselamatan sambutan thaipusam perak dron tanpa kebenaran thaipusam polis perak kawal keselamatan thaipusam tahanan bawa senjata tajam di tempat awam
Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohammad Azlin Sadari ketika hadir pada Program High Profile Policing Tahunan PDRM Perak Bersama Masyarakat sempena sambutan Thaipusam di Kuil Kallumalai Arulmigu Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, Ipoh hari ini. Foto ABDULLAH YUSOF 01 FEBRUARI 2026.

Beliau berkata, susulan larangan yang berkuatkuasa sepanjang tempoh sambutan iaitu bermula pada 31 Januari sehingga 3 Februari itu, tindakan menerbangkan dron tanpa kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) adalah satu kesalahan.

“Kedua-dua barang kes dalam insiden berasingan ini telah kita rampas untuk proses siasatan lanjut,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Mohammad Azlin berkata, perjalanan dan tahap keselamatan sambutan Thaipusam secara umum di negeri Perak berada dalam keadaan terkawal.

Beliau berkata, seramai 763 pegawai dan anggota polis di semua daerah ditugaskan bagi mengawal keselamatan di lokasi-lokasi perayaan, di samping turut mendapat bantuan daripada Bukit Aman.

“Bantuan yang turut melibatkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) amat membantu memastikan kawalan keselamatan serta kelancaran pergerakan perarakan, termasuk perarakan kavadi dan Chariot,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pelancong terpikat dengan keunikan Thaipusam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI