ThinkCup tarikan baharu BMLR tawar pemandangan dari atas bukit

TERLETAK di puncak Ripple Hills pada ketinggian 43 meter dari paras laut, ThinkCup menawarkan panorama Tasik Bukit Merah yang menakjubkan serta dikelilingi kehijauan semula jadi mendamaikan.

Bukan hanya sekadar kafe, ThinkCup menjadi ruang inspirasi kepada pengunjung berehat meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan sahabat sambil menikmati udara segar yang jauh dari kesibukan bandar.

Timbalan Ketua Pegawai Operasi MK Land, Nazri Tumin berkata, ThinkCup merupakan satu lagi produk baharu Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) dalam menggalakkan pelancongan di Perak.

Beliau berkata, BMLR sentiasa bekerjasama dengan Tourism Malaysia dan Tourism Perak dengan menyediakan produk baharu pelancongan sebagai usaha menggamit kehadiran pelancong ke negeri ini.

ThinkCup Bukit Merah Laketown Resort. Foto SYAKIR YUSOF.

“Kalau kita perhatikan kawasan sekitar Bukit Merah ini masih kurang terdapat kafe-kafe seperti ThinkCup dan kita melihat ada peluang dengan pembukaan ini.

“Bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga dari segi bagaimana kita menyediakan peluang pekerjaan serta tempat keluarga bersantai dan healing,” katanya kepada Malaysia Gazette (MG) Perak.

Mengulas lanjut Nazri berkata, sebagai penerima Gold Award (Man-Made Tourism) di bawah inisiatif Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), BMLR terus memperkukuh komitmennya dalam memberikan pengalaman pelancongan berkualiti dan bermakna kepada setiap tetamu dan pengunjungnya.

Beliau berkata ia dibuktikan melalui pembukaan ThinkCup, sebuah kafe berkonsep alam semula jadi yang menawarkan ketenangan dan keharmonian dengan persekitaran semula jadi.

“Inisiatif ini juga mencerminkan dedikasi kami dalam mendukung pelancongan mampan.

Timbalan Ketua Pegawai Operasi MK Land, Nazri Tumin (kiri) dan Pengurus Resort BMLR, Danesh Ramesh. Foto, SYAKIR YUSOF.

“Dengan sokongan dan pengiktirafan daripada MOTAC melalui anugerah ini, kami terdorong untuk terus memperkukuh usaha yang menggabungkan gaya hidup moden dengan kelestarian, demi kebaikan tetamu, komuniti dan alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Resort BMLR, Danesh Ramesh berkata, ThinkCup merupakan sebuah kafe yang terletak di atas bukit dengan pemandangan tasik buatan manusia yang menenangkan.

Katanya lagi, kafe untuk pelbagai lapisan umur itu bukan hanya untuk pengunjung BMLR yang menginap serta mandi di taman teman air mereka tetapi turut dibuka kepada orang luar.

“Apa yang boleh saya katakan ThinkCup merupakan tempat yang sesuai kepada semua lapisan dan bukan hanya untuk pengunjung BMLR sahaja tetapi juga penduduk setempat di Kerian serta Larut Matang dan Selama (LMS).

Suasana Kafe ThinkCup. Foto, SYAKIR YUSOF.

“Satu lagi tempat yang kita pilih ini juga kalau dilihat dari pemandangan atas bukit ini kita akan nampak 7,000 ekar tasik buatan manusia pertama di Malaysia dibina pada 1906,” katanya.

Dibuka setiap hari kecuali Selasa dari jam 3.00 petang hingga 9.00 malam ThinkCup menampilkan hidangan istimewa seperti Butterfly Pea Apple Mojito dan Caramel Macchiato.

Kafe berkenana turut menawarkan pencuci mulut istimewa seperti Kek Pandan Gula Melaka dan Kek Keju Bukit Merah yang dijangka menjadi tarikan utamanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI