IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan kenaikan harga telur ayam setakat ini.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemantauan harga barangan termasuk telur ayam dijalankan setiap hari oleh pegawai penguat kuasa KPDN bagi memastikan harga terkawal dan mematuhi peraturan.
“Setakat ini, tiada aduan diterima berhubung kenaikan harga telur ayam di Perak. Pemantauan harga barangan dilakukan setiap hari bagi memastikan tiada kenaikan melampau,” katanya kepada media pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan berhubung dakwaan berlaku peningkatan harga telur ayam di beberapa lokasi di negara ini susulan penamatan subsidi kerajaan terhadap barang tersebut.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan subsidi telur ayam dikurangkan kepada lima sen daripada 10 sen bermula 1 Mei dan seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos lalu.

Sementara itu Kamalludin berkata, aplikasi Price Catcher yang dibangunkan KPDN kini digunakan secara meluas di seluruh negara termasuk di Perak dengan lebih 5,100 pengguna berdaftar.
Katanya, KPDN terus menggalakkan lebih ramai pengguna memanfaatkan aplikasi tersebut bagi memudahkan mereka melakukan perbandingan harga barangan.
Tambahnya, aplikasi itu memaparkan 480 jenis barangan meliputi enam kategori utama seperti barangan basah, kering, penjagaan diri, barangan kanak-kanak dan lain-lain.
“Contohnya, jika mahu membeli ayam, pengguna boleh menyemak premis yang menawarkan harga terendah di kawasan mereka.
“Aplikasi ini akan senaraikan harga daripada yang paling murah kepada paling mahal secara automatik,” jelasnya.
Kamalludin turut memaklumkan KPDN Perak akan mengadakan jelajah bersama Program Jualan Rahmah Madani di seluruh negeri bagi mempromosikan aplikasi tersebut sepanjang bulan kemerdekaan ini.
Terdahulu, beliau mengiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyempurnakan pelancaran Jelajah Price Catcher sempena Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Langkap di sini hari ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Subsidi telur ayam ditamatkan 1 Ogos