Tiada budaya ‘kapla’, gangsterisme di asrama sekolah di Perak – Exco

IPOH – Tiada budaya ‘kapla’ atau gangsterisme wujud di asrama sekolah-sekolah dalam negeri ini, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah.

Menurut beliau, ia berdasarkan hasil siasatan dijalankan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan maklumat yang diperolehi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kes-kes buli yang berlaku adalah akibat perasaan tidak puas hati yang timbul serta perselisihan komunikasi antara murid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Berhanudin Ahmad (PN-Manong) sewaktu Sesi Soalan-soalan Lisan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.

Menjawab soalan tambahan mengenai statistik kes buli di Perak Khairudin berkata sebanyak 49 kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini berbanding 89 kes bagi tempoh Januari hingga Disember 2024.

Tambahnya, bagi tahun 2024 sebanyak 23 kes buli direkodkan di asrama manakala luar sekolah sembilan kes dan di sekolah 53 kes.

“Bagi tahun 2025 pula sebanyak 14 kes buli di rekodkan di asrama, tiga di luar sekolah dan 32 kes di dalam sekolah. Maksudnya kalau kita lihat berlaku penurunan bilangan kes buli yang berlaku di Perak,” katanya.

Khairudin berkata, sebagai usaha untuk mencegah daripada kes buli berlaku, pengesanan awal telah dilaksanakan melalui Program Minda Sihat di bawah selia Guru Bimbingan dan Kaunseling yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan sosioemosi serta mental yang baik dikalangan murid.

Jelas beliau, pelaksanaan Program Minda Sihat DIWAJIBKAN kepada semua murid sekolah menengah (Peralihan – tingkatan enam) dan murid sekolah rendah (Tahun 5 – 6).

“Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Negeri Perak turut mengadakan kerjasama strategik dengan rakan sinergi bagi pengurusan psikososial seperti Program ‘PEERS”, Program Ekspresi Anak Remaja Lestari (PEARL) dan Kerjasama bersama agensi kerajaan.

“Untuk makluman dewan yang mulia, selain daripada program-program yang saya nyatakan tadi, program Amalan Sekolah Penyayang turut diadakan sepanjang tahun yang bertujuan membudayakan sikap kasih sayang dan kepedulian dalam kalangan guru, kakitangan, murid, dan ibu bapa untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang kondusif, positif, dan menyeronokkan,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak sentiasa beri keutamaan kes buli, ambil tindakan segera

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI