Tiada hubungan langsung UMNO-DAP, kerjasama hanya BN-PH – Zahid

GOMBAK – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, partinya tidak mempunyai sebarang hubungan langsung dengan DAP sebaliknya kerjasama dalam kerajaan ketika ini hanya melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata demikian mengulas desakan MCA supaya parti-parti komponen BN tidak meneruskan kerjasama dengan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Menurutnya, kerjasama yang wujud perlu dilihat dari sudut gabungan ke gabungan bukan antara parti secara langsung.

“Oleh kerana MCA merupakan parti komponen dalam BN dan DAP pula adalah parti komponen dalam PH, maka asas utama kerjasama ini bukanlah parti ke parti tetapi gabungan ke gabungan.

“Perkara ini boleh diselesaikan dan kesefahaman dapat dicapai,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Lawatan Rasmi di Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, keutamaan ketika ini adalah rasionaliti politik khususnya berkaitan bila PRU akan diumumkan.

Isu berhubung kerjasama tersebut akan diserahkan kepada kepimpinan tertinggi BN dan PH untuk ditangani secara bersama, katanya.

Pada 7 Disember lalu, Perhimpunan Agung MCA meluluskan resolusi menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP pada PRU-16.

Perwakilan turut bersetuju supaya MCA menentukan haluan sendiri sekiranya mana-mana komponen BN tetap berkeras untuk bekerjasama dengan DAP dengan alasan semangat gabungan BN sudah tidak lagi wujud.

Pada Julai lalu, Ahmad Zahid dilaporkan menyatakan bahawa BN merancang untuk meneruskan kerjasama dengan PH pada PRU-16 meskipun terdapat desakan supaya gabungan itu bergerak secara solo.

Untuk rekod, BN yang diterajui UMNO memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan keputusan Parlimen tergantung selepas PRU 2022.

Sementara itu, satu lagi komponen BN, MIC turut dilaporkan berada di persimpangan sama ada mahu kekal dalam gabungan tersebut atau sebaliknya, malah pernah mendapatkan penjelasan lanjut daripada Perikatan Nasional (PN) berhubung kemungkinan penyertaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI