IPOH – Kerajaan negeri Perak tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih dalam memberi peluang kepada kontraktor Kelas F di negeri ini bagi mendapatkan sebarang projek seperti yang didakwa pihak tertentu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebaliknya pemberian projek kepada kontraktor dilaksanakan melalui cabutan undi.
Menurutnya, jawatankuasa pemilihan tender yang menguruskan tender projek juga tidak mengetahui sama ada kontraktor tersebut mewakili parti kerajaan ataupun pembangkang.
“Tiada dalam mana-mana sijil (kontraktor) itu dicop parti kerajaan atau pembangkang. Kita (kerajaan negeri) pun tak kenal.
“Sebagai Menteri Besar, saya tidak tahu mana pembangkang, mana kerajaan. Setahu saya di peringkat daerah projek-projek ini diundi.
“Projek ini datang dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), ada yang bernilai RM100,000 ada RM50,000, tetapi diundi. Masa undi itu tiada pula dicop pembangkang atau kerajaan.
“Siapa juga yang masuk tender diundi. Itu nasib masing-masinglah. Tidak dapatlah nak cakap kalau dapat dia kerajaan, kalau tak dapat dia pembangkang.
“Perkara ini tidak berlaku kerana tender board ini tidak kenal pun (kontraktor datang dari) mana-mana parti,“ katanya pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) di Ipoh Parade, di sini pada Jumaat.
Turut sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching; dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Perak, Ir Loh Ban Ho.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dilaporkan berkata, latar belakang politik seseorang usahawan atau kontraktor tidak seharusnya menjadi alasan untuk mereka diberikan peluang.
Menurutnya, beberapa rungutan diterima daripada usahawan khususnya kontraktor kelas F yang mendakwa mereka tidak mendapat peluang sewajarnya daripada kerajaan negeri.
Beliau turut mengesyorkan kepada kerajaan negeri supaya tidak melihat latar belakang usahawan-usahawan sebab ada rungutan dalam kalangan usahawan khususnya Kelas F yang merasakan diri mereka dipinggirkan disebabkan mereka tidak berada di dalam kelompok politik parti-parti kerajaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lebih 4,000 rumah tidak terjual di Perak bukan trend membimbangkan