Tiada keputusan pembebasan Zahid, sambung hujah 24 April

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini tidak membuat keputusan terhadap permohonan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapat pembebasan penuh daripada 47 pertuduhan berkaitan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor berkata, beliau akan menunggu Mahkamah Rayuan memutuskan permohonan Badan Peguam Malaysia untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman sebelum menentukan permohonan Timbalan Perdana Menteri.

Badan Peguam memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Peguam Negara (AG) yang menghentikan prosiding pendakwaan kes rasuah Yayasan Akalbudi terhadap Presiden UMNO.

Pendengaran di Mahkamah Rayuan ditetapkan pada 8 April ini.

Sehubungan itu, Hakim Nurulhuda Nur’aini menetapkan 24 April ini bagi mendengar permohonan Ahmad Zahid untuk mendapat perintah agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada kesemua 47 pertuduhan.

Hakim berkenaan berkata, sebarang keputusan Mahkamah Rayuan kelak akan mengikat keputusan Mahkamah Tinggi dan persoalan isu berkepentingan awam yang dikemukakan perlu ditentukan oleh mahkamah atasan.

“Justeru, mahkamah tidak akan membuat keputusan buat masa ini walaupun pihak pendakwaan telah memberikan petunjuk bahawa mereka tidak membantah permohonan Ahmad Zahid.

“Jika mahkamah ini membuat keputusan berhubung permohonan Ahmad Zahid, maka permohonan semakan kehakiman Badan Peguam, akan menjadi akademik,” ujar beliau.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pendengaran permohonan Ahmad Zahid untuk mendapat pembebasan penuh terhadap 47 pertuduhan – 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Namun permohonan tersebut belum didengar selepas Badan Peguam Malaysia membantah permohonan Ahmad Zahid.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik tidak bersetuju dengan permohonan Badan Peguam atas alasan ia tiada hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk bertindak dalam prosiding hari ini.

Hakim Nurulhuda bagaimanapun membenarkan pemohonan peguam Abhilaash Subramaniam dan Collin Arvind Andrew bagi pihak Badan Peguam mengemukakan pendirian atas alasan permohonan Ahmad Zahid melibatkan kepentingan awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI