IPOH – Kerajaan melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu termasuk warga asing dan kanak-kanak yang bertindak melakukan kesalahan pembuangan sampah kecil di tempat awam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) yang berkuat kuasa mulai semalam bukan sahaja terpakai kepada warganegara Malaysia yang melakukan malah turut dikenakan terhadap warga asing dan kanak-kanak.
Menurutnya, sesiapa sahaja yang didapati mencampak puntung rokok, meludah di atas jalan, membuang botol plastik air mineral, semuanya boleh dikenakan hukuman khidmat masyarakat.
Tambahnya, tindakan itu menunjukkan betapa penting penggunaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) termasuk ke atas warga asing.
“Individu yang didapati bersalah perlu menjalani PKM hingga 12 jam dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan.
“Kanak-kanak juga tidak terlepas daripada dikenakan hukuman tersebut dan ibu bapa seharusnya bertanggungjawab untuk menjaga dan memastikan anak-anak mereka untuk lebih berdisiplin.
“Hukuman khidmat masyarakat itu merangkumi aktiviti berkaitan kebersihan antaranya menyapu jalan, mencuci longkang dan membersih tandas dan jika perlu, mereka perlu trim atau cantas pokok untuk bantu Jabatan Landskap Negara (JLN).
“Hukuman tersebut bukan bersifat untuk menghukum semata-mata. Saya hendak tegaskan, ia lebih bersifat untuk mendidik. Objektif kita ialah untuk mendidik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan kerja di Bandar Medan Ipoh di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Mansor Mohamad; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching; Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim dan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.
Dalam perkembangan berkaitan, Nga memaklumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memberikan tempoh enam bulan kepada negeri lain termasuk Perak untuk berbincang dan mencari mekanisme terbaik bagi mengguna pakai Akta 672.
Semalam, SWCorp mengeluarkan 42 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) terhadap individu yang didapati membuang sampah kecil di tempat awam sempena Ops Cegah Ambang Tahun Baharu 2026 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur awal pagi Khamis.
Sepanjang operasi, kesalahan dikesan melibatkan pembuangan sisa seperti puntung rokok, botol air, tin minuman, plastik, tisu dan pembalut makanan di tempat awam serta jalan awam.
Jumlah keseluruhan kes, 24 melibatkan warganegara Malaysia dan 18 membabitkan warga asing, manakala 40 kes melibatkan golongan dewasa serta dua kes membabitkan kanak-kanak.
Kesemua individu terlibat akan disiasat dan dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPKT peruntuk RM85.6 juta bagi projek TRM


