Tiada kuota IPTA dikorbankan untuk pelajar asing – Zambry

GEORGE TOWN – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menegaskan kerajaan tidak pernah mengorbankan kuota penuntut tempatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) demi memberi laluan kepada kemasukan pelajar antarabangsa, termasuk dari China.

Beliau berkata, pengambilan pelajar ke IPTA masih berpaksikan sistem UPU yang menetapkan keutamaan kepada anak tempatan.

“IPTA ditubuhkan untuk memberi pendidikan kepada anak-anak Malaysia. Kita tidak pernah kompromi kuota yang ditetapkan.

“Adalah tidak benar jika dikatakan pelajar luar, khususnya dari China, menutup peluang pelajar tempatan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Simposium IEEE ke-32 di Universiti Sains Malaysia (USM) di Spice Arena di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong di Parlimen semalam yang membangkitkan isu didakwa berlaku lambakan pelajar China di beberapa universiti awam, termasuk program asasi.

Menurut beliau, ketika ini terdapat pelajar antarabangsa dari lebih 150 negara yang menuntut di Malaysia, sama ada di IPTA atau IPTS, selaras dengan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.

“Kebanyakan mereka memilih Malaysia kerana yakin dengan kualiti pendidikan kita. Dahulu mereka ke Barat, tapi kini disebabkan persaingan dan isu geopolitik, mereka pilih Malaysia.

“Kita tidak boleh kurangkan kuota pelajar Malaysia yang ditetapkan kerajaan hanya kerana universiti mahu buat untung. Itu bertentangan dengan dasar,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Zambry turut menyeru semua pihak termasuk Ahli Parlimen supaya tidak mempolitikkan isu pendidikan tinggi dan tampil berbincang secara terus dengan kementerian jika ada kekeliruan.

“Saya tidak berniat dan saya tidak mahu pun mempunyai polemik, sama ada dengan Wee Ka Siong mahupun sesiapa saja bukan kerana saya gentar atau takut, tapi saya lebih suka kalau sekiranya ada perkara-perkara berbangkit datang berjumpa terus dengan saya atau pegawai kementerian untuk mendapatkan maklumat tepat daripada membuat tuduhan yang hanya menimbulkan keresahan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI