IPOH – Kerajaan Perak tidak pernah meluluskan sebarang pembukaan ladang ternakan babi baharu di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan majoriti penduduk Islam.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, ladang penternakan babi yang beroperasi sekarang adalah yang sedia ada sejak zaman dahulu.
“Sebahagian besar ladang-ladang yang wujud pada hari ini adalah warisan operasi sejak beberapa dekad yang lalu.
“Ladang tersebut terletak di atas tanah milik persendirian serta telah beroperasi sebelum pewartaan garis panduan atau dasar penternakan moden diperkenalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Daruk Ridzuan, pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, Sivanesan yang juga Pengerusi Jawantankuasa Pengstrukturan Semula Ladang-Ladang Khinzir Perak berkata, jawatankuasa tersebut berjaya mengurangkan jumlah ladang babi berkurangan sehingga 85 buah berbanding 115 pada 2022.
“Sebanyak 30 ladang babi telah ditutup di Perak hasil daripada penguatkuasaan undang-undang, wabak penyakit yang melanda babi domestik, isu berkaitan pemilikan serta penggunaan tanah.
“Kesemua ladang ini telah ditutup sepenuhnya dan tidak lagi dibenarkan beroperasi semula tanpa kompromi.
“Justeru, kenyataan yang mengatakan bahawa terdapat ladang-ladang ternakan haram beroperasi secara berleluasa adalah tidak benar dan tidak bertanggungjawab.
“Kesemua 85 ladang-ladang yang sedang beroperasi di negeri ini mempunyai lesen penternakan yang dikeluarkan oleh Jabatan Veterinar Perak,” ujarnya.
Sementara itu, Sivanesan turut menyangkal dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri yang menyatakan lebih 30 kandang babi beroperasi di daerah Batang Padang.
“Berhubung isu penternakan babi di daerah Batang Padang, Muallim dan DUN (Dewan Undang Negeri) Ayer Kuning, sebanyak 20 buah ladang babi berlesen beroperasi di bawah Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1992.
“11 daripadanya sudah mempunyai Kelulusan Merancang (KM) bagi pertukaran kepada Modern Pig Farm (MPF) manakala sembilan buah ladang masih dalam proses dokumentasi,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: