BATU GAJAH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menafikan dakwaan penampakan buaya di Sungai Kinta berhampiran Kampung Pisang yang tular di media sosial hari ini.
Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, imej tular berkemungkinan besar adalah hasil suntingan kecerdasan buatan (AI).
Menurutnya, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan penampakan haiwan reptilia itu.
“Palsu. Ia adalah suntingan AI. Kita (Perhilitan) tiada terima sebarang aduan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya imej tersebut disahkan sebagai hasil janaan AI dan disebarkan sebagai berita adalah benar, ia boleh dianggap sebagai penyebaran maklumat palsu.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh mengambil tindakan terhadap penyebar berita palsu itu kerana ia bukan di bawah bidang kuasa Perhilitan.
“Tindakan hanya boleh diambil oleh polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” jelasnya.
Sehubungan itu, Yusoff menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan teknologi AI bagi menghasilkan imej atau menyebarkan maklumat tidak benar yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa keping gambar bersama keterangan yang menggesa orang ramai, khususnya kaki pancing, supaya berhati-hati susulan dakwaan kemunculan buaya berhampiran jambatan di Kampung Pisang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kejar dua kilometer, polis rampas 385kg dadah bernilai RM13 Juta