IPOH – Perak menegaskan tiada sekatan atau larangan dikenakan terhadap mana-mana pemimpin politik termasuk pembangkang ke kawasan sekolah di negeri ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, bagaimanapun ia terlebih dahulu perlu membuat permohonan sebagaimana yang digariskan di bawah Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 4 Tahun 2023 di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Katanya, menurut garis panduan terbabit, tokoh politik yang ingin mengadakan lawatan ke sekolah perlu membuat permohonan kepada Ketua Pendaftar iaitu Ketua Setiausaha KPM atau Ketua Pengarah Pendidikan dalam tempoh 30 hari sebelum program diadakan.
“Pihak sekolah pula perlu mengisi borang-borang tertentu untuk menyatakan kebenaran bagi menjemput tokoh-tokoh berkenaan. Maksudnya, kedua-dua pihak iaitu tokoh politik atau orang kenamaan, dan pihak sekolah kena memohon kebenaran.
“Dalam borang permohonan berkenaan pula tertera antara perkara-perkara yang boleh dilakukan, seperti sebagai perasmi, penyumbang, lawatan, dan lain-lain yang berkaitan.
“Ini bermakna, proses untuk memohon kebenaran ini perlu kita lakukan. Walaupun saya sebagai Exco Pendidikan pun, sekolah yang nak jemput kena mohon kebenaran daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan Perak 2026 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut Khairudin berkata, SPI yang diperkenalkan KPM bukan garis panduan baharu sebaliknya kementerian telah mengeluarkan beberapa siri surat pekeliling berkaitan kebenaran mengundang orang kenamaan atau tokoh politik hadir sebelum tahun 2023.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa, semua institusi pendidikan adalah kawasan berkecuali dan tidak boleh dijadikan sebagai medan politik kepartian.
Khairudin berkata, prinsip berhubung perkara itu masih jelas melalui beberapa dasar dan peraturan yang masih berkuat kuasa seperti Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
Jelas belia, di bawah akta berkenaan, ia menetapkan bahawa sekolah kerajaan adalah institusi awam bagi tujuan pendidikan, dan tidak boleh digunakan bagi aktiviti yang mengganggu ketenteraman, keselamatan atau fokus pendidikan, termasuk kegiatan politik kepartian.
“Jika ada berlaku sebarang pelanggaran prosedur, percakapan atau sebagainya, kita perlu membuat laporan kepada JPN supaya siasatan dan tindakan sewajarnya dapat dilakukan,” katanya.

Terdahulu berlaku sedikit kekecohan dengan pihak pembangkang pada sesi penggulungan belanjawan Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Cina Negeri, Woo Kah Leong apabila beliau menjawab isu kehadiran ke sebuah sekolah Ayer Tawar pada Julai.
Jelas Kah Leong, keberadaan beliau ke sekolah terbabit bukan sebagai tujuan politik sebaliknya hanya menyampaikan sumbangan untuk pasukan pancaragam di sekolah terbabit.
“Saya beritahu kepada pelajar-pelajar supaya menggantikan kami di pihak kerajaan kalau rasa kami sebagai pihak kerajaan tidak ‘perform’ pada masa depan.
“Adakah ayat-ayat ini dianggap sebagai berkempen di mata wakil rakyat PAS? Saya tak (bawa) masuk borang keahlian DAP ke sekolah. Saya tak minta mereka isi borang (keahlian DAP),” katanya.
Kekecohan itu bagaimanapun tidak berlarutan selepas berjaya dikawal Speaker DUN, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiada sekolah KAFA Perak ditutup, hanya tangguh operasi


