SHAH ALAM – “Tiada masa” dan “terlupa” antara alasan paling kerap diberikan oleh pengguna jalan raya di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) ketika ditanya mengenai ketiadaan lesen memandu dalam Ops Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, dekat sini semalam.
Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata operasi yang berlangsung hampir lima jam bermula kira-kira 8.30 malam itu menyaksikan sebanyak 580 kenderaan diperiksa, dengan 252 notis kesalahan dikeluarkan kepada pengguna jalan raya.
“Antara kesalahan utama ialah tidak memiliki lesen memandu (76), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (51), tiada insurans (49), tiada lesen GDL (8), tidak memaparkan nombor pendaftaran kenderaan (7), tiada cermin pembalik (reflector) (5) dan lain-lain kesalahan teknikal membabitkan 10 kenderaan.
“Setakat pemeriksaan hari ini, tempoh paling lama LKM tidak diperbaharui adalah dua tahun, dan kebanyakan kes melibatkan penunggang motosikal,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan operasi tersebut di sini, semalam.
Azrin berkata operasi yang dijalankan di Plaza Tol Kemuning menghala ke Shah Alam, termasuk laluan motosikal di lokasi sama, berjalan lancar tanpa sebarang insiden penunggang motosikal melawan arus untuk mengelak pemeriksaan.
Beliau berkata operasi itu turut melibatkan tindakan sitaan terhadap 12 kenderaan iaitu lapan buah motosikal dan empat kereta.
“Kita juga menjalankan pemeriksaan terhadap bas persiaran dan mendapati semua penumpang memakai tali pinggang keledar. Berdasarkan soal jawab dengan mereka, pemandu telah memaklumkan lebih awal agar mengenakan tali pinggang sebagai langkah keselamatan,” katanya.
Operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pihak konsesi lebuh raya.
Dalam operasi sama, AADK Petaling turut menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun selepas mereka didapati positif methamphetamine. – BERNAMA