Tidak adil terus ungkit perjuangan Adam Adli mansuh hutang PTPTN

KUALA LUMPUR – Adalah tidak adil untuk masyarakat terus mengungkit janji lama Adam Adli Abd Halim yang dahulunya tegar memperjuangkan isu menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, janji itu dibuat oleh Adam Adli ketika dia seorang aktivis.

Tetapi kini, Adam Adli sudah menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran kerajaan.

“Saya yakin kalau ruang diberikan, kita boleh sama-sama cari jalan untuk tambah baik sistem pendidikan kita, tidak hanya melalui PTPTN tetapi melalui banyak lagi inisiatif lain,” katanya menerusi program SKOP MG malam tadi dengan tajuk ‘Rombakan Kabinet: Game Changer Atau Biasa-biasa?’

Beliau mengulas komen-komen negatif dan sindiran rakyat Malaysia terhadap Adam Adli yang kini dilantik Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Muhammad Kamil meminta semua pihak melihat isu berkenaan daripada sudut pandang realiti semasa.

“Kalau kita bercakap tentang soal menghapuskan PTPTN ini, dulu kita bercakap mungkin 10 atau 13 tahun yang lalu. Dalam keadaan pada ketika itu, kedudukan ekonomi kita berbeza, kedudukan fiskal dan hutang kita berbeza.

“Jadi hujah lama itu kita tidak boleh ambil bawa ke hadapan bagi satu kritikan yang sebegitu,” ujanya yang menyamakan isu penghapusan pinjaman PTPTN dengan harga minyak.

“Sama halnya apabila kita bicara tentang soal harga minyak. Orang akan perlekeh ‘hari ini kita menang, esok turun harga minyak’.

“Kerajaan ambil beberapa tahun masa untuk kita pulihkan keadaan ekonomi, lakukan penjimatan, dan alhamdulillah hari ini harga minyak telah berjaya diturunkan (secara berperingkat melalui penyasaran),” katanya lagi.

Jelasnya, jika mahukan perubahan dasar, ia harus melihat secara lebih holistik.

“Apakah langkah yang telah diambil oleh kerajaan?

“Kita dah lihat dalam pengumuman Belanjawan 2026 umpamanya, untuk pelajar B40 itu hutang mereka dihapuskan, jadi ini adalah satu langkah positif ke arah merealisasikan apa yang kita pernah perjuangkan sebelum ini, tertakluk kepada kedudukan ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI