KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan bahawa penggantungan Datuk Noor Azman Rahman telah berakhir sekali gus beliau kembali menggalas tugas sebagai Setiausaha Agung FAM berkuat kuasa serta-merta.
FAM berkata, sebelum ini Terdahulu, Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 22 Disember 2025 telah membincangkan hasil laporan daripada Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC).
Jelasnya, ketika itu membuat keputusan meneruskan penggantungan Datuk Noor Azman sejak 17 Oktober 2025 bagi membawa kes tersebut ke Jawatankuasa Tatatertib FAM bagi tindakan lanjut.
“Justeru, Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu telah bermesyuarat dan setelah mengambil kira tempoh penggantungan yang telah dikenakan ke atas beliau dan juga laporan IIC bertarikh 15 Disember 2025, memutuskan untuk mengembalikan Datuk Noor Azman kepada tugasnya sebagai Setiausaha Agung FAM berkuat kuasa serta-merta.
“Dengan keputusan terbaharu ini, ia menunjukkan bahawa Datuk Noor Azman hanya terkait dalam kecuaian pentadbiran dan tidak bersalah atau terlibat dalam hal pemalsuan dokumen,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Noor Azman sebelum ini digantung serta-merta oleh badan induk itu pada 17 Oktober lalu.
Ia susulan FIFA mendedahkan butiran penuh berhubung keputusan menghukum FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel selepas mendapati wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran pemain.
Menurut laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” bertarikh 6 Oktober 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan bahawa hukuman itu dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Susulan itu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,000) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Mengikut rekod, Noor Azman yang dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada September 2022 menggantikan Mohd Saifuddin Abu Bakar. – MalaysiaGazette


