Tidak betul teroka dahulu baru mohon TOL- Saarani

IPOH – Dakwaan terdapat arahan agar meneroka terlebih dahulu tanah kerajaan sebelum memohon tanah pemilikan sementara (TOL) adalah tidak benar, kata, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut Saarani sebaliknya, ia perlu dimohon secara sah di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) mengikut prosedur yang ditetapkan Kerajaan Negeri Perak.

“Adalah menjadi kesalahan mana-mana orang yang meneroka tanah kerajaan, tidak betul kalau ada arahan teroka dahulu baru mohon TOL, itu salah.

“Kena memohon secara sah dan PDT akan melaksanakan kajian sama ada ia wujud atau sudah bertuan atau belum atau status tanah rampas dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Saarani (BN-Kota Tampan) berkata, sekiranya tanah yang dipohon merupakan tanah kerajaan yang kosong dan sesuai diusahakan maka ia akan dibawa ke dalam mesyuarat jawatankuasa tanah daerah.

Ujar beliau, sekiranya tanah yang dipohon tidak melebihi dua ekar ia akan diluluskan PDT, sekiranya lebih ia akan di bawa ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Tambahnya lagi, PTG akan menyediakan kertas kerja untuk dibawa ke Mesyuarat Exco dan bila diluluskan minit akan dikeluarkan PDT untuk disediakan prosedur memberi hak milik.

“Tetapi selalunya memang ramai orang teroka dahulu walau salah. Jadi bila teroka dan bercucuk tanam ada hasil kemudian memohon kita akan lulus.

“Tetapi kena bayar denda enam kali ganda, jadi tidak betul kalau ada yang kata kena teroka dahulu sebab kalau teroka dan mohon lalu kita luluskan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan lisan Pengkalan Baharu (BN-Azman Noh), Saarani berkata, Kerajaan Negeri Perak telah menyediakan sumber tanah untuk dijadikan sebagai projek tanaman makanan yang diwartakan sebagai Kawasan Zon Keterjaminan Makanan.

Ujar beliau, rakyat yang tidak mempunyai tanah tetapi berminat untuk mengusahakan tanah bagi projek tanaman makanan boleh mengemukakan kertas cadangan dan mengisi borang permohonan bersama dengan pelan tapak ke Pejabat Daerah dan Tanah untuk pertimbangan, sama ada melibatkan permohonan bagi kategori Pemberikan Tanah Kerajaan atau Lesen Pendudukan Sementara.

“Bagi permohonan Pemberimilikan Tanah Kerajaan berkeluasan dua ekar ke bawah (Tanah Tersepit), kuasa melulus ialah Pentadbir Tanah manakala permohonan untuk tanah melebihi dua ekar boleh dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk kelulusan dengan tempoh pajakan tidak melebihi 99 tahun.

“Bagi kategori Lesen Pendudukan Sementara, permohonan boleh diajukan kepada Pentadbir tanah bagi tanah yang berkeluasan lima ekar ke bawah manakala permohonan bagi keluasan melebihi lima ekar perlu dibawa untuk pertimbangan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

MGPerak: Tanah Rizab Melayu: Saarani Sedia Beri Kerjasama Pada SPRM

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI