IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak boleh sewenang-wenangnya membatalkan sebarang lesen memandu kepada mana-mana individu yang disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu tidak boleh dipukul rata kerana sebahagian besar golongan berkenaan boleh memandu atau menunggang kenderaan dengan baik.
“Jika ada kes tertentu atau terpencil melibatkan pemandu OKU, kita akan lihat semula sama ada lesen mereka ditarik balik (atau tidak), namun saya tegaskan ia bukan dasar kita.
“Kita tidak boleh ‘generalise’ semua OKU kerana ramai antara mereka boleh membawa kenderaan dengan selamat, malah amat bergantung kepada lesen memandu.
“Ini kerana kita ada ramai pemandu e-panggilan dalam kalangan OKU seperti OKU pekak, bisu dan sebagainya yang mempunyai lesen memandu dan boleh memandu dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Pembangunan Ipoh Sentral antara Ipoh Sentral Sdn Bhd (ISSB) dan Country Annexe Sdn Bhd (CASB), di sini, pada Khamis.
Majlis berkenaan itu disempurnakan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Imran Salim yang mewakili CASB sementara ISSB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Firdaus Effendy Mokhtar.
Ia turut disaksikan, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; serta Pengerusi MRCB Land ,Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Anthony sebelum itu diminta mengulas berkenaan kenyataan Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) yang meminta JPJ membatalkan lesen individu yang disahkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai OKU mental.
Presidennya, Fahami Ashrof Badaruddin, dilaporkan berkata, membenarkan seseorang tanpa kewarasan akal boleh meletakkan bahaya kepada orang lain.
Mengulas lanjut Anthony berkata, pelaksanaan kepada perkara itu seharusnya tidak boleh dilakukan secara umum kerana ia dikhuatiri akan memangsakan semua individu OKU. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kes pukul OKU tidak boleh jadi alasan untuk sesiapa bersikap kejam – Syaheera