Tidak sensitif, DAPSY Perak tuntut Dr Akmal mohon maaf

KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Perak menuntut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh memohon maaf secara terbuka kepada seluruh golongan orang kurang upaya (OKU).

Setiausaha Publisiti DAPSY Perak, Koh Ling Xian berkata, kenyataan Dr. Muhamad Akmal terhadap golongan OKU dalam insiden pemasangan Jalur Gemilang terbalik di sebuah sekolah disifatkan sangat tidak sensitif dan biadab.

Menurutnya, kenyataan itu langsung tidak mencerminkan ciri-ciri seorang negarawan atau pemimpin yang matang.

Sebaliknya tingkah laku sedemikian adalah tipikal seorang politikus murahan yang terdesak mencari populariti dengan mempermainkan emosi rakyat secara sengaja dan keterlaluan.

“Golongan OKU adalah sebahagian daripada masyarakat kita, mereka mempunyai hak dan maruah yang sama seperti rakyat Malaysia lain.

“Namun amat mendukacitakan apabila Akmal yang merupakan seorang pemimpin muda, ahli politik dan juga seorang doktor memilih untuk menjadikan golongan OKU sebagai bahan sindiran politik untuk menyerang golongan yang berbeza pandangan.

“Tindakan jijik beliau telah mencalarkan maruah seluruh golongan OKU negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau sebelum ini membuat hantaran di laman sosial miliknya meminta agar DAPSY yang mengkritik beliau turut diberikan status OKU.

Kenyataan itu dibuat susulan respons kepada Penolong Setiausaha Pemuda DAP, Edmund Lim yang mengecamnya berhubung Jalur Gemilang dipasang terbalik di sekolah vernakular di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Ling Xian berkata, sebagai ahli politik muda yang sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat, Dr. Muhamad Akmal sepatutnya menggunakan insiden itu untuk menyatukan rakyat dan mengukuhkan semangat patriotik, lebih-lebih dalam bulan Ogos yang penuh bermakna ketika ini.

Namun, ujarnya, Dr. Muhamad Akmal memilih untuk terus mengapi-apikan sentimen dan menimbulkan suasana tegang, iaitu tindakan yang disifatkan amat memalukan dan tidak bertanggungjawab.

“Masyarakat kita memerlukan lebih banyak usaha ke arah keharmonian dan keterangkuman sosial, bukannya politik jijik yang sentiasa mencari kesalahan orang lain demi mengejar kepentingan politik sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI