Tiga anggota trafik ditahan, bantu siasatan pelancong UK bayar saman RM100

IPOH – Tiga anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Perak ditahan bagi membantu siasatan video tular anggota trafik menawarkan bayaran saman RM100 ke atas pasangan warga United Kingdom (UK) yang dalam jelajah di Malaysia.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kesemua mereka yang berumur antara 37 hingga 42 tahun ditahan itu selepas dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Katanya, penahanan itu dibuat susulan pihaknya menerima laporan polis susulan siasatan kes dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berkenaan video tular itu.

“Ketiga-tiga mereka direman selama tiga hari sehingga 1 Februari depan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan kes ini telah diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Ia akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya apabila siasatan telah dilengkapkan. Selain itu, siasatan dalaman oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman juga turut dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati pasangan pelancong itu telah ditawarkan bayaran saman oleh seorang anggota trafik dengan didakwa menerima suapan RM100 di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Susulan itu, beliau menyeru agar mangsa yang terlibat dalam kes berkenaan untuk tampil memberi kerjasama kepada pihak polis untuk membantu melengkapkan kertas siasatan.

“Orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes ini sehingga menjejaskan siasatan pihak polis.

“Polis perak menegaskan bahawa, pihak polis memandang serius terhadap integriti dan tingkah laku warga polis serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku yang dilakukan oleh mana-mana warga polis.

“Pihak polis mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi kepada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2542222,” katanya lagi.

Pada Ahad, media melaporkan Polis Bukit Aman sedang menyiasat video tular yang memaparkan seorang anggota polis trafik didakwa mengambil RM100 daripada dua pelancong asing dengan alasan menjelaskan saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju.

Terdahulu, menerusi video berdurasi 50 saat yang tersebar di sosial media, pasangan pelancong yang juga pempengaruh YouTube dari UK itu disaman oleh anggota polis itu kerana didakwa memandu melebihi had laju.

Apabila ditanya apa yang perlu dilakukan mereka, polis berkenaan memberitahu mereka boleh menjelaskan saman RM300 di balai polis berdekatan atau membayar RM100 kepadanya di lokasi itu. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Polis kesan dua pelancong, bantu siasat video anggota trafik didakwa minta RM100

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI