Tiga beranak antara tujuh ditahan dalam dua kes dadah bernilai lebih RM500,000

SHAH ALAM – Polis berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah yang aktif di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur membabitkan nilai rampasan syabu dan ganja dianggarkan bernilai lebih RM500,000.

Tiga sekeluarga yang terdiri daripada ibu bapa dan anak antara tujuh suspek yang ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dalam operasi pada 15 dan 16 Mei lalu di Petaling Jaya dan ibu negara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam kes pertama pada 15 Mei lalu, JSJN Selangor berjaya menahan dua lelaki tempatan dan satu wanita di kawasan tempat letak kereta di Petaling Jaya.

“Pemeriksaan lanjut ke atas mereka berjaya membawa kepada rampasan 10 bungkusan dadah disyaki syabu seberat 10.380 kilogram dipegang suspek kedua.

“Berpandukan maklumat tangkapan dua suspek pertama itu, pasukan menahan seorang lagi suspek lelaki tempatan di kawasan sama dan merampas syabu seberat 1.038 kg dalam bonet kereta yang dinaikinya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah Hussein, semakan lanjut mendapati keempat-empat suspek berusia antara 21 hingga 44 tahun yang bekerja sebagai peniaga sendiri, pencuci kereta dan penjaga parkir kenderaan manakala seorang lagi penganggur.

“Siasatan mendapati, suspek suspek pertama dan suspek ketiga iaitu bapa dan anak mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah manakala suspek keempat memiliki dua rekod dadah,” katanya.

Dalam kes kedua, JSJN Daerah Petaling Jaya berjaya menahan satu lagi sindiket ganja membabitkan tiga suspek bersama dadah bernilai RM135,966.

Katanya, dalam serbuan pertama pada 15 Mei lalu polis berjaya membuat tangkapan ke atas dua lelaki tempatan di kawasan Sungai Way dan merampas ganja anggaran berat 22.051 kilogram yang disimpan di bahahian tempat duduk belakang kereta.

Pada awal siasatan, polis mengejar suspek yang menaiki kenderaan Mitsubishi Triton selepas melanggar anggota polis ketika diarah memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan lanjut.

“Oleh demikian, polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek bagi memberhentikan kenderaannya untuk tindakan lanjut sebelum merampas dadah berjumlah RM135,966.

“Susulan tangkapan kes kedua ini, pada 16 Mei polis berjaya membuat tangkapan ke atas suspek ketiga seorang lelaki tempatan dalam serbuan di Pantai Dalam.

“Berpandukan maklumat suspek ketiga itu, pasukan menyerbu sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat di Pantai Dalam sebelum merampas ganja seberat 21.809 gram yang disembunyikan dalam kotak dan tong di ruang tamu rumah tersebut,” katanya lagi.

Ketiga-tiga suspek itu berusia 23 hingga 30 tahun yang mana dua daripadanya merupakan peniaga pakaian dan pemandu manakala suspek ketiga merupakan penganggur.

Dua suspek pertama kes kedua ini memiliki 10 rekod lampau kes jenayah dan dadah manakala ujian air kencing ke atas mereka mengesahkan dua daripadanya positif Benzo dan THC.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah bagi kedua-dua kes itu adalah berjumlah lebih 500,000 dipercayai untuk pasaran tempatan di Lembah Klang dan dibawa masuk dari sempadan negara jiran iaitu Thailand dan kita tidak menolak kemungkinan bekalan itu diperoleh dari negara segitiga emas di utara Semenanjung,” katanya.

Kesemua suspek dalam kedua-dua kes berkenaan direman seminggu di Bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk disiasat di Bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan juga boleh dikenakan 12 sebatan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI