IPOH – Tiga beranak termasuk seorang bayi nyaris maut selepas kereta dinaiki mereka terbakar hampir 90 peratus selepas melanggar tiang elektrik di Persiaran Kledang Utara, Taman Gamelan, Menglembu di sini, awal pagi tadi.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.57 pagi melibatkan kereta Proton Preve.
“Setibanya di tempat kejadian, api sedang marak membakar hampir 80 peratus daripada keseluruhan kereta.
“Ketua operasi dimaklumkan terdapat tiga mangsa, iaitu lelaki dan perempuan dewasa serta bayi mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua mangsa yang cedera ringan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini oleh orang awam.
— BERNAMA


