GOPENG – Tiga individu berdepan detik cemas apabila kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter di kilometer (km) 299.5 arah utara Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), dekat sini, pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 9.06 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dan BBP Tapah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi operasi penyelamatan.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati terdapat seorang lelaki dan dua wanita berada dalam kereta berkenaan, termasuk salah seorang daripada mereka tersepit.
“Susulan daripada kemalangan itu, didapati semua mangsa mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Menurut beliau, anggota bomba yang terlibat melaksanakan operasi penyelamatan dengan menggunakan peralatan ‘pine board’ dan ‘basket stretcher’ sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.
“Semua mangsa dibawa ke hospital oleh jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II TBK Safri Shah Shahraman itu tamat pada jam 10.17 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Warga emas jatuh gaung 30 meter bersama motosikal


