KAMPAR – Mayat ketiga-tiga mangsa yang ditemukan lemas dipercayai akibat kepala air ketika melakukan aktiviti ‘water rafting’ di Sungai Jahang, Gopeng petang tadi dikenal pasti sebagai kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Mangsa dikenali sebagai Jurutera Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Suhaili Mat Saad, 47.
Dua lagi mangsa dikenal pasti sebagai, Penolong Jurutera Kanan, Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37, dan Pegawai Khidmat Pelanggan, Muhammad Ikram Abdul Bari, 29. Kedua-dua mangsa bertugas di JKR Daerah Langkawi.
Ketua Polis Daerah Kampar Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, mangsa wanita beralamat di Kampung Teluk Sungai Kecil, Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Menurutnya, dua mangsa lain, Mohamad Khairul Hakim beralamat di Ayer Hangat, Kuah, Langkawi dan Muhammad Ikram pula beralamat di Taman Permata, Jitra, Kedah.
“Mangsa terbabit adalah sebahagian daripada 21 peserta JKR SPT dan Langkawi yang menyertai ‘team building’ dan menginap di sebuah resort di Gopeng.
“Sewaktu kejadian kesemua peserta termasuk seorang jurugambar dan lima jurupandu telah bergerak ke Sungai Jahang untuk menjalankan aktiviti ‘white water rafting’.
“Keadaan sungai semasa permulaan masih sesuai untuk aktiviti tersebut namun ketika lebih kurang 500 meter (m) dari tempat pelepasan dapati air telah naik secara mendadak.
“Bot yang terakhir didapati telah terbalik dah tujuh mangsa hanyut lebih kurang 800m menyebabkan tiga daripada mereka meninggal dunia,” jelasnya.
Mohamad Nazri tidak menolak kemungkinan kejadian itu dipercayai berpunca daripada kepala air akibat hujan berterusan yang menyebabkan air Sungai Jahang meningkat dengan mendadak.
Terdahulu, media melaporkan dua lelaki dan seorang wanita meninggal dunia dipercayai akibat lemas ketika mengikuti aktiviti ‘water rafting’ di Sungai Jahang, Gopeng, petang Jumaat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon dilaporkan berkata, jarak perjalanan rafting adalah sejauh enam kilometer (km) menyusuri sungai tempat dipercayai mangsa dihanyutkan.
Katanya, arus berlaku selepas 4km perjalanan menyusuri sungai dan kesemua mangsa berjaya ditemui serta dinaikkan di kawasan yang sepatutnya aktiviti tersebut berakhir. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga ditemui lemas ketika aktiviti ‘water rafting’