IPOH – Perak memperkenalkan tiga buah kitab bacaan asas di masjid dan surau seluruh Perak sebagai langkah strategik bagi mengatasi kekurangan penceramah bertauliah serta menghidupkan suasana masjid terutama pada waktu antara Maghrib dan Isyak.
Kitab-kitab tersebut ialah Qalbun Salim dan Sifat 20: Suatu Pengenalan Asas karya Ustaz Muhadir Haji Joll serta Mutiara Minhajul Abidin oleh Ustaz Raja Ahmad Mukhlis Raja Jamaluddin.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kitab-kitab berkenaan disusun dalam bahasa yang mudah difahami dan boleh digunakan oleh imam untuk menyampaikan ilmu walaupun tanpa kemahiran berpidato.
“Kadang-kadang antara Maghrib dan Isyak masjid kosong, jadi mengapa tidak diisi ruang itu untuk duduk dan membaca kitab tersebut.
“Kitab ini juga telah disahkan oleh Jawatankuasa Pengawasan dan disahkan bahawa kandungannya menepati serta tanpa perlu huraian panjang, memadai dan baca (kitab) itu, cukup untuk memberi ilmu kepada para jemaah.
“Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh cadangkan supaya kita edarkan buku ini kepada semua imam-imam masjid, Surau Diri Jumaat (SDJ) dan Surau Ta’addud Jumaat seluruh Perak supaya mereka faham kandungannya.
“InshaAllah saya yakin ia salah satu daripada kaedah kita mengimarahkan masjid,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kitab Bagi Tujuan Bacaan di Masjid, SDJ dan Surau Ta’addud Jumaat Seluruh Negeri Perak di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah di Tanjung Rambutan, di sini pada Isnin.
Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim dan Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor.
Saarani berkata, langkah tersebut tidak memerlukan penganjuran program besar yang menelan kos tinggi ia memadai dengan duduk dan baca kitab tersebut, tetapi manfaatnya besar.
Tambahnya, kitab-kitab berkenaan telah diluluskan oleh pihak berkuasa agama negeri dan akan diedarkan ke semua masjid dan surau untuk dimanfaatkan secara rasmi di bawah kendalian imam-imam bertauliah. – MG Perak
Artikel Berkaitan: