TELUK INTAN – Tiga lelaki ditahan bersama dua kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai lebih RM65,000 dalam serbuan di kawasan parkir sebuah pasar raya di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia antara 26 hingga 38 tahun di dalam sebuah kereta jenis Toyota.
Menurutnya, mereka ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada jam 2.20 petang.
“Ketika pemeriksaan dijalankan di dalam kereta dinaiki suspek, kita menemui bungkusan plastik berlabel ‘Guanyunwang’ disyaki mengandungi dadah jenis syabu.
“Bungkusan dadah dianggarkan seberat 1,918 gram itu diletakkan di atas kerusi penumpang belakang kereta tersebut.
“Kesemua dadah yang dirampas itu mampu diedarkan kepada 1,918 penagih khususnya di Teluk Intan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan menerusi siasatan awal yang dijalankan ketiga-tiga rakan sepenjenayah yang berasal dari utara negeri ini mengaku terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mengesahkan mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Ketiga-tiga suspek terlibat memiliki rekod jenayah lampau antara empat hingga 12 kesalahan,” ujarnya.
Ahmad Adnan berkata, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 13 Januari ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Rakyat Malaysia ditahan edar dadah bernilai RM120,000 di Sungai Golok