GERIK – Polis menahan tiga lelaki kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di kawasan Kampung Air Ganda, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, kesemua suspek yang berusia antara 28 hingga 36 tahun itu ditahan ketika sepasukan anggota Balai Polis Gerik sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar kampung tersebut kira-kira jam 4 petang semalam.
Menurutnya, sewaktu polis menjalankan rondaan, mereka telah terserempak dengan ketiga-tiga suspek warga tempatan itu menaiki kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
“Pemerhatian telah dibuat ke atas gerak geri ketiga-tiga lelaki tersebut mendapati, mereka telah turun dari kenderaan dan membuka penutup lubang bawah tanah serta cuba memotong kabel milik TM.
“Pihak polis telah membuat serbuan dan berjaya menangkap kesemua suspek serta merampas sebuah kenderaan, pencangkuk pembuka, pencangkuk beserta tali, spanar, pemotong kabel dan tukul besi.
“Hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek cuba memotong kabel bawah tanah tersebut dan akan menariknya pada waktu malam.
“Selain itu, hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis syabu dan kesemua memiliki rekod jenayah lampau melibatkan kes pecah rumah serta penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Taiping dan direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Isnin depan.
“Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 379 / Seksyen 511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan mencuri dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah dalam badan,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: