TAPAH – Tiga maut manakala tiga yang lain cedera dalam nahas membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah kereta di Kilometer 328.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dari Tapah menghala ke Bidor, di sini pada Selasa.
Tiga mangsa maut dikenali sebagai, Chong Ong, 77; Teh Kim Kai, 76; dan Tan Ah Tak, 70, yang menaiki SUV Proton X50.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut sekitar jam 11.19 pagi.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba dilokasi kejadian, didapati berlaku kemalangan melibatkan kereta jenis Toyota Vios dan Proton X50.
“Terdapat seorang mangsa lelaki 31 tahun menaiki Toyota Vios manakala lima mangsa lelaki lagi yang berusia antara 68 hingga 77 tahun menaiki Proton X50.
“Tiga mangsa yang menaiki SUV tersebut disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala dua lagi cedera dalam insiden tersebut.
“Ketua operasi mengadakan penilaian situasi dan mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) serta mengarahkan anggota membuat kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mangsa yang cedera dan maut dibawa ke Hospital Tapah untuk tindakan lanjut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pengurus syarikat antara dua lelaki warga China maut kemalangan jalan raya