KUALA KURAU – Tiga nelayan warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B kerana disyaki melanggar syarat sah lesen di sini, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, bot itu ditahan di kedudukan 16.9 batu nautika barat daya Pulau Kalumpang, di sini.
Menurutnya, bot terbabit dikesan pasukan bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot itu mendapati, seramai tiga orang nelayan warga Myanmar termasuk tekong berumur antara 42 hingga 44 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati bot terbabit memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemilik dan tiada kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kesemua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan serta dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia.
“Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
“Selain itu, kes ini turut disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemilik serta tiada kebenaran penggunaan kru warga asing yang sah,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Maritim Malaysia rampas bot nelayan tempatan tidak miliki lesen