Tiga parah, lima cedera dua MPV bertembung di Gerik

GERIK – Seramai tiga orang cedera parah, manakala lima lagi cedera ringan selepas dua kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki dipercayai bertembung dalam nahas di Kilometer 4, Jalan Gerik – Kupang, di sini pada Jumaat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan itu membabitkan MPV Nissan Grand Livina dan Perodua Alza.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 11.45 pagi, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan kerja-kerja menyelamat.

“Terdapat dua orang mangsa yang menaiki Perodua Alza telah tersepit dan dua orang mangsa lagi cedera ringan.

“Pemandu Nissan Grand Livina mengalami kecederaan parah namun tidak tersepit dan tiga penumpang yang menaiki kenderaan itu hanya mengalami kecederaan ringan.

Tiga parah, lima cedera dua MPV bertembung
Keadaan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terlibat dalam nahas di Kilometer 4, Jalan Gerik – Kupang, Gerik pada Jumaat. Foto ihsan JBPM

“Ketua operasi segera menjalankan penilaian situasi dan mengaplikasikan konsep SAVER atau Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap dan mengarahkan anggota untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan hidraulik dan pengusung,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang cedera ringan telah dibawa keluar dari kenderaan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.

“Tiga orang mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah dihantar ke hospital dengan menggunakan jentera EMRS (Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan).

“Dua lagi mangsa yang cedera parah serta tiga mangsa lagi dihantar ke Hospital Gerik menggunakan dua buah ambulans untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

Katanya, operasi terkawal pada jam 12.15 tengah hari dan tamat sepenuhnya jam 12.37 tengah hari. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bas ekspres terbakar di lebuh raya, 28 penumpang selamat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI