Tiga remaja maut kereta terbabas langgar tiang elektrik

KUALA LUMPUR – Tiga remaja maut manakala seorang lagi cedera parah apabila kereta dinaiki terbabas lala melanggar tiang elektrik berdekatan Ladang CEP Perdana, Simpang Renggam, Johor malam semalam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor yang menerima panggilan pada jam 11.45 malam mengerahkan pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam dan Kluang dengan jumlah kekuatan anggota seramai 14 orang bersama dua jentera FRT, kenderaan Unit EMRS serta sebuah motosikal Unit RIM ke lokasi kejadian.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Shoromi Salih berkata, terdapat empat remaja lelaki kesemuanya berusia 21 tahun tersepit di dalam kereta Proton Wira.

“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan daripada kenderaan oleh pasukan Bomba,” katanya menerusi kenyataan.

Namun, jelas beliau, tiga daripada mereka, termasuk pemandu, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia di lokasi kejadian.

Tambahnya, seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan kritikal telah diserahkan kepada pegawai perubatan untuk menerima rawatan lanjut.

Shoromi berkata, kesemua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 1.13 pagi setelah kerja-kerja pengoperasian selesai. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI