Tiga sahabat dilepas, dibebaskan daripada tuduhan edar dadah

IPOH – Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini melepas dan membebaskan tiga sahabat daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis enam tahun lalu.

Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh iaitu Mohd Nazreen Hazim Abdullah Satar, 35; Mohd Suhaimi Ahmad, 42; dan Muhammad Shafiq Shamsuddin, 38.

Dalam penghakiman ringkasnya, Bhupindar Singh menyatakan bahawa terdapat beberapa percanggahan ketara dalam kes tersebut yang menimbulkan pelbagai keraguan munasabah terhadap keterangan dan barang kes.

Menurutnya, perkara itu termasuklah perbezaan tanda pada barang kes yang dirampas, perbezaan berat kandungan dadah yang ketara semasa di lokasi dan semasa dihantar untuk analisis serta keterangan bercanggah antara pegawai serbuan dan pegawai penyiasat berhubung kedudukan suspek semasa serbuan dilakukan.

“Kegagalan untuk mendedahkan atau memanggil pegawai forensik sebagai saksi telah mewujudkan kelompongan besar dalam kes pendakwaan.

“Mahkamah berpendapat bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kewujudan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memutuskan bahawa ketiga-tiga tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri.

Ketiga-tiga mereka yang bekerja sebagai buruh kasar sebelum ini berhadapan pertuduhan secara bersama mengedar dadah jenis kanabis seberat 1,145.5 gram di sebuah rumah di Taman Pinji Seni, Ipoh dalam daerah Kinta jam lebih kurang 7.45 malam pada 17 November 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta sama yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dipenjara seumur hidup dan disebat minimum 12 kali.

Tujuh saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang perbicaraan yang bermula 2019.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil manakala Mohd Nazreen Hazim diwakili peguam, Ranjit Singh Sandhu; Mohd Suhaimi diwakili peguam, Charan Singh; dan Muhammad Shafiq diwakili peguam, V Santhiran.

Sebelum ini, media melaporkan polis telah membongkar satu sindiket penghasilan dan pengedaran dadah jenis ganja di Perak yang menggunakan alat pengisar mirip kelongsong peluru.

Taktik itu berjaya dikesan dengan tertangkapnya tiga lelaki dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Pinji Seni di sini pada 17 November 2019. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Polis rampas 123.1kg dadah bernilai RM4.7 juta dalam but SUV

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI